Home Artikel PAS Perlis

Lakukan Empat Perkara Demi Kemenangan Islam

443
SHARE

Oleh: Muhammad Hadi

KANGAR : Musuh-musuh Islam akan terus melakukan apa sahaja bagi memastikan Islam tidak menjadi ancaman kepada mereka.

Kata Pesuruhjaya PAS Kedah, Ustaz Ahmad Yahaya, antara perkara yang dilakukan oleh mereka termasuklah menguasai media-media yang ada dan menggunakan media tersebut untuk menimbulkan persepsi negatif terhadap Islam.

Mana-mana pihak yang didapati menyokong Islam pula ujarnya akan terus diberikan tekanan manakala parti-parti politik baharu pula ditubuhkan semata-mata untuk memecahkan kesatuan umat Islam.

“Sebab apa tuan-tuan, sebab mereka sedar Islam akan menjadi ancaman kepada mereka.

“(Justeru) mereka akan tekan Islam dan umatnya di mana saja mereka ada peluang berbuat demikian,” ujarnya ketika menyampaikan pengisian dalam Liqa’ Fikri PAS Perlis di Kompleks PAS Perlis (KOMPAS) dekat sini malam tadi.

Jelasnya lagi, kedudukan agama Islam berada pada tahap yang amat meruncing pada era pemerintahan kerajaan PH kesan daripada hilangnya kuasa politik umat Islam.

Ini katanya menyebabkan kedudukan agama Islam semakin tergugat manakala hak serta keistimewaan yang dinikmati oleh umatnya pula semakin terhakis.

Justeru, beliau menggesa para pendokong perjuangan Islam supaya melaksanakan empat perkara demi mengembalikan semula kekuasaan politik di tangan umat Islam di negara ini.

Empat perkara berkenaan ujarnya adalah beristiqamah dengan perjuangan Islam, memantapkan gerak kerja untuk mengembalikan semula kuasa politik Islam, memberikan perhatian terhadap kesedaran politik rakyat serta menerapkan ilmu serta kefahaman Islam yang sebenar kepada rakyat.