Oleh ; Rohayati Ripin
KUALA TERENGGANU – Seramai 40 sukarelawan telah turun padang melaksanakan misi pasca banjir fasa pertama di Hulu Besut.
Ketua Ameerah Terengganu, Asma Abdullah berkata, misi kali ini dengan tumpuan utama membersihkan rumah dan dapur penduduk yang terjejas akibat banjir gelombang pertama.
Katanya, beberapa entiti turun antara Gen3, Pusat Khidmat Masyarakat Ladang, Dewan Muslimat Negeri Terengganu dan Lajnah Kebajikan serta beberapa Badan Bukan Kerajaan (NGO).
“Operasi yang dijalankan adalah bersih rumah dan dapur rakyat.
“Ameerah juga turun dengan membawa sumbangan kit wanita dan kanak-kanak,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi pada hari ini.
Menurutnya, pihak Ameerah Negeri masih memerlukan sokongan dan sumbangan daripada orang ramai untuk membantu mangsa banjir di daerah lain yang turut terkesan.
“Banjir di Terengganu dijangka akan berlaku lagi diharap tidak seteruk gelombang pertama ini.
“Terima kasih yang telah menyumbang dan teruskan membantu dan berdoa untuk Terengganu dan negeri pantai timur,” katanya.
Justeru itu, beliau mengalu-alukan sumbangan daripada orang ramai diharap dapat sedikit sebanyak membantu meringankan beban mangsa banjir yang terjejas.
“Antara perkara yang diperlukan ialah kit wanita RM20 perset, kit kebersihan RM20 perset dan kit kecerian Rm10 perset.
“Kita tolong orang hari ini, insya Allah Allah permudahkan urusan kita.
“Jom kita semua menyumbang! Jika tidak mampu memberi banyak, sedikit daripada setiap orang pun sudah memadai,” ujar beliau.
“Sesiapa yang ingin menyalurkan sumbangan, boleh berbuat demikian melalui akaun CIMB: 8603354723 atas nama Pertubuhan Hawa Harmoni Sejahtera Terengganu, rujukan Banjir,” tambah beliau.