Home Berita PAS Terengganu

KUTT Bayar Royalti RM1.1 Juta kepada Kerajaan Terengganu

26
SHARE

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Terengganu telah menerima bayaran royalti daripada anak syarikat kerajaan negeri (GLC), Koridor Utiliti Teknologi Terengganu Sdn Bhd (KUTT) sebanyak RM1,101,489.15 bagi tahun 2024.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, KUTT selama ini diberi tanggungjawab untuk membangunkan koridor utiliti negeri termasuk menyediakan pangkalan data bersepadu bagi semua jajaran utiliti.

Katanya, ia merangkumi tenaga elektrik, bekalan air, rangkaian telekomunikasi dan sistem kumbahan.

“Imbalan bagi pelantikan itu, KUTT disyaratkan untuk membayar sebahagian daripada pendapatan sebagai kontribusi kepada negeri bagi setiap tahun beroperasi,”katanya dalam satu kenyataan media sempena Sesi Penyerahan ‘Mock Cheque’ di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif KUTT, Ir. Ts. Ahmad Azhan Suhaili.

Cek pembayaran royalti itu diserahkan oleh Ahmad Azhan kepada Pegawai Kewangan Negeri Terengganu, Dato’ Mohd Azmi Mohamad Daham.

Dalam pada itu, Ahmad Azhan berkata KUTT telah mencatatkan pertumbuhan kewangan memberansangkan hasil prestasi cemerlang daripada semua bahagian membolehkan syarikat sekali lagi berpeluang mengembalikan bayaran kontribusi buat kerajaan negeri.

Di samping itu juga, KUTT turut sama berganding bahu dengan kerajaan negeri bagi membantu rakyat Terengganu dengan menyerahkan cek sumbangan RM350,000 kepada Tabung Darul Iman di bawah peruntukan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).

Cek itu telah diserahkan kepada Timbalan Pengerusi Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Zuraida Md. Noor.

Selain daripada itu, KUTT bersama Menteri Besar Incorporated (MBI) Terengganu bekerjasama menyalurkan sumbangan RM500,000 untuk Program MBI-Youth Talent Scholarship melalui tabung biasiswa GLC kerpada Yayasan Terengganu yang mengendalikan dan mengurus biasiswa pelajar cemerlang terpilih.

Cek pembayaran sumbangan Tabung Biasiswa GLC tersebut telah diserahkan oleh Ketua pegawai Eksekutif KUTT kepada Pengarah Yayasan Terengganu.