Home Berita PAS Sabah

Kursus Kesempurnaan Solat Kasih Hawa bimbing peserta

127
SHARE

Oleh : Sitti Saidah Binti Osman
29 Januari 2023

KENINGAU : Pertubuhan Kasih Hawa Negeri Sabah dengan kerjasama surau An-Nur Taman Anggerik Keningau telah menganjurkan program kursus kesempurnaan solat yang mensasarkan golongan wanita dan mualaf di sekitar Keningau.

Program kursus kesempurnaan solat ini telah diadakan di surau An-Nur Taman Anggerik di sini kelmarin. Seramai 110 orang peserta termasuk penceramah dan barisan fasilitator yang telah menghadiri kursus kesempurnaan solat pada sesi yang pertama.

Melalui program ini, peserta dapat mempelajari berkenaan dengan wuduk, bacaan dan perbuatan dalam solat, kesalahan yang dilakukan dalam solat serta penerangan mengenai masbuq dan muafiq yang telah disampaikan oleh penceramah undangan yang juga merupakan guru-guru sekolah rendah dan sekolah menengah.

“Ilmu berkenaan dengan solat ini perlulah dipelajari oleh semua lapisan masyarakat kerana ialah adalah tuntutan agama dan masyarakat haruslah mencari serta melibatkan diri dengan program-program sebegini.

“Semoga para peserta dapat belajar cara solat dengan sempurna selepas sahaja selesai mengikuti program yang telah dianjurkan ini,” ujar Norazian Sapiai, AJK Kasih Hawa.

Beliau juga menyatakan hasrat kepada para peserta yang telah hadir untuk terus mengikuti kursus kesempurnaan solat pada sesi kedua yang bakal diadakan pada minggu hadapan di tempat yang sama.

Kursus ini turut sama dimeriahkan dengan sesi soal jawab dan penyampaian hadiah dalam kalangan peserta.