Oleh MUHAMMAD HADI
KANGAR, 10 Jan: Kunjungan mahabbah Dewan Muslimat PAS Negeri Perlis (DMPNPs) ke atas Ketua Polis Negeri, Dato’ Surina Saad hari ini bertujuan mengukuhkan hubungan yang sedia terjalin antara kedua-dua pihak.
Menurut ketuanya, Nor Shahirah Mat Salleh, DMPNPs melihat peri pentingnya kerjasama erat antara entiti berkenaan dengan Polis Perlis khasnya dalam soal-soal berkaitan kesejahteraan masyarakat di negeri ini.
Ujarnya lagi, selaras dengan slogan ‘Polis Dan Masyarakat Berpisah Tiada’, DMPNPs sentiasa sedia menghulurkan bantuan kepada pihak PDRM apabila diperlukan.
“PDRM juga menzahirkan ucapan penghargaan kerana hampir setiap tahun kami mengadakan lawatan ke Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) sempena sambutan Hari Polis.
“Kunjungan mahabbah kami pada hari ini juga merupakan kesinambungan program Dewan Muslimat PAS Perlis bertemu mata bersama ketua-ketua jabatan dalam kalangan wanita di negeri ini,” katanya di sini hari ini.
Hadir sama pada kunjungan itu Setiausaha Dewan Muslimat PAS Perlis Noor Hafiza Mansor dan Ketua Penerangan Husna Hashim.
Jelas Nor Shahirah lagi, pihaknya turut menyatakan solidariti dan sokongan kepada para pegawai dan anggota polis yang bertugas sebagai petugas barisan hadapan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.
Tanpa pengorbanan mereka ujarnya, tidak mungkin rakyat berpeluang hidup dalam suasana negara yang lebih stabil seperti yang dinikmati pada hari ini.