Home Berita PAS Johor

KUNJUNGAN KE TAPAK PELUPUSAN DAN RAWATAN SISA SAMPAH DOMESTIK SEELONG ENVIRONMENTAL CENTRE (SEC)

2501
SHARE

KUNJUNGAN KE TAPAK PELUPUSAN DAN RAWATAN SISA SAMPAH DOMESTIK SEELONG ENVIRONMENTAL CENTRE (SEC)

Oleh : Tinta Tebrau

 

TEBRAU – PAS Kawasan Tebrau melalui Lujnah Alam Sekitar dan Asas Tani mengadakan kunjungan pertamanya ke tapak pemprosesan dan pelupusan sampah, Seelong Environmental Centre (SEC). Syarikat yang dinaungi SWM Environment Sdn Bhd ini terletak di Jalan Sungai Tiram, Kulai Johor.

 

Kunjungan mesra ini merupakan permulaan PAS Kawasan Tebrau untuk memahami tugasan dan cabaran entiti ini dalam usaha memelihara alam sekitar. Kehadiran ini disambut baik oleh dua orang pegawai yang bertugas, Muhammad Iezzat Khairuddin dan S. Kanan. Aktiviti dimulakan dengan taklimat dan penerangan. Seterusnya para pengunjung dibawa ke beberapa lokasi berlakunya proses rawatan dan kajian seperti diterangkan.

 

Menurut Muhammad Iezzat, sehingga Mei 2019 sebanyak 52,689.64 tan sampah yang diterima oleh SEC untuk diproses dan dilupuskan. Purata sehari sebanyak 1,000 hingga 2,500 tan sisa sampah domestik yang diterima terdiri daripada pelbagai jenis komposisi.

 

Menjawab soalan mengenai komposisi bahan bekas polistrin, beliau membenarkan dan memberitahu bahawa sisa tersebut akan mengambil masa pelupusan yang lebih panjang berbanding sisa-sisa sampah domestik lain. Tambahnya lagi, kesedaran tentang bahaya polisterin perlu diteruskan dari semasa ke semasa.

 

Gas-gas yang terhasil dari pelupusan sisa sampah ini akan dijadikan sebagai tenaga eletrik melalui beberapa proses rawatan. Ia kemudian dijual kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB). Sebahagian gas yang tidak dijadikan tenaga elektrik akan dilepaskan ke udara setelah diyakini selamat.

 

S. Kanan menjelaskan, air yang terhasil dari sisa sampah akan dikaji dan dirawat sebaiknya sebelum dilepaskan semula ke Discharge Point Sungai Tiram. Tambahnya lagi, SEC juga mampu menghasilkan Reverse Osmosis Water (RO Water) gred A, namun ia tidak disarankan untuk dijadikan minuman utama kerana air tersebut tiada serat galian yang diperlukan badan.

 

Hasil dari kunjungan tersebut merumuskan betapa pentingnya menjaga alam sekitar dan ia merupakan tanggungjawab bersama. Kesedaran harus dipupuk bermula dari rumah, begitu juga pengasingan sisa pepejal dan sampah bagi memudahkan proses pelupusan serta rawatan oleh pihak tertentu seperti SEC.

 

Lujnah Alam Sekitar dan Asas Tani PAS Kawasan Tebrau bercadang membawa beberapa pegawai SEC ke sekolah-sekolah dalam Kawasan Tebrau untuk sesi penerangan dan pencerahan berkenaan proses-proses yang terlibat dalam pelupusan sampah serta kesan dan bahaya jika sisa sampah tidak diurus dengan baik.

 

Turut menyertai kunjungan ini ialah Pesuruhjaya PAS Johor, Tuan Guru Hj Abdullah Husin diiringi oleh Yang Dipertua PAS Kawasan Tebrau, Ustaz Khirul Muntanazar Ismail serta Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Tebrau, Rohaiza Mohd Razali. Beberapa Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan Tebrau serta guru-guru PASTI Al-Irfan Tebrau antara yang hadir memberi sokongan.