Home Berita PAS Terengganu

Kunjungan Exco Perlis bincang Pemerkasaan Syariah

14
SHARE

KUALA TERENGGANU – Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi menerima kunjungan Exco Hal Ehwal Agama, Pendidikan, Pembangunan Insan, Industri Halal dan Penerangan Perlis, Muhammad Azmir Azizan bersama agensi dibawah portfolionya di Wisma Darul Iman, hari ini.

Muhammad Khalil memaklumkan, pelbagai perkara dibincangkan dalam pertemuan tersebut bagi memperkukuhkan lagi hubungan dua hala antara Terengganu dan Perlis.

“Banyak yang diutarakan berkisar tentang pemerkasaan syariah khususnya melibatkan undang-undang syariah Islam.

“Antaranya, bagaimana kita hendak memperkasakannya apabila berdepan dengan cabaran semasa khususnya pasca keputusan Mahkamah Persekutuan yang berpihak kepada kes Nik Elin yang menyatakan bahawa Dewan Undangan Negeri Kelantan tidak berhak untuk meluluskan enakmen jenayah syariah.

“Jadi perkara itu penting kerana kita mahu masyarakat faham tentang apa yang berlaku,” ujarnya kepada pemberita selepas pertemuan tersebut.

Katanya, agensi berkaitan juga diminta supaya berhubung antara satu sama lain bagi memperkemaskan lagi hubungan antara kedua-dua negeri.

Sementara itu, Muhammad Azmir berkata, tujuan pihaknya mengadakan kunjungan ke Negeri Terengganu adalah untuk bertukar-tukar pandangan khususnya antara agensi dibawah portfolio yang sama di kedua-dua negeri.

“Dalam pertemuan ini ada sesi soal jawab bagi kita dapatkan input-input yang boleh kita bawa balik ke Perlis untuk dicontohi atau dilaksanakan,” ujarnya.