PERLIS – Delegasi Kerajaan Negeri Terengganu mengadakan kunjung balas ke Perlis bagi menzahirkan kesungguhan untuk saling bekerjasama dalam memperkukuhkan negeri ‘SG4’.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah , Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, pertemuan yang amat bermakna itu adalah untuk mengeratkan lagi hubungan antara empat negeri dalam memperkasakan peranan melalui portfolio masing-masing.
Katanya, melalui perjumpaan tersebut, semua pihak boleh mengambil ‘istifadah’ dari negeri masing-masing yang berbeza ‘waqie’.
“Alhamdulillah setelah kita melawat ke Kedah (pada sebelah pagi) sekarang ini kita berkunjung ke Perlis bagi mengadakan pertemuan dengan EXCO kerajaan negeri ini.
“Melalui perbincangan perkongsian dan bertukar-tukar pendapat banyak perkara yang boleh dibawa balik ke Terengganu dan ada perkara yang boleh mereka ambil dari negeri kita untuk dimanfaatkan dan dinilai dari segi kesesuaiannya untuk dilaksanakan
“Pertemuan ini sangat bermakna dan banyak perkongsian yang boleh dimanfaatkan bagi memajukan antara negeri-negeri ‘SG4’ ini,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman, semasa mengadakan lawatan ke negeri terbabit, di sini, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terenggany, Rizuan Hashim, Ketua Hakim Syarie Terengganu Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu, YAA. Dato’Haji Wan Mohd Zakri Wan Mohd.
Hadir sama, Pengarah Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), Mohd Harun Esa dan Pengarah Akademi Didik Ulama’ Amilin Terengganu (DUAT), Mohd Zulkhairi Ngah.
Delegasi Terengganu disambut oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal-Ehwal Agama, Pendidikan, Pembangunan Insan, Industri Halal dan Penerangan Perlis, Muhammad Azmir Azizan.