Home Berita PAS Terengganu

Kuil : ‘Tiada halangan jika patuh syarat’ – Terengganu jawab DAP

19
SHARE

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Negeri Terengganu tidak pernah menghalang mana-mana pihak daripada apa-apa pertubuhan yang mewakili pelbagai segmen sama ada kebudayaan, warisan dan agama untuk mengadakan program selagi mengikut garis panduan ditetapkan kerajaan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, isu tular berkenaan Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok yang mendakwa kerajaan negeri melarang penyanyi wanita membuat persembahan pada acara keagamaan dianjurkan sebuah kuil kurang tepat daripada fakta sebenar.

Menurutnya, persembahan nyanyian, tarian kebudayaan dan seni yang dimohon oleh Persatuan Penyokong Kuil Kwan Tee Than membabitkan penonton lelaki dan wanita di khemah terbuka dalam kawasan terbuka di kawasan kuil tersebut.

“Serta melibatkan orang yang lalu lalang dapat melihat persembahan tersebut, maka persembahan seperti ini tidak dianggap sebagai khusus untuk bukan Islam dan pemakaian Garis Panduan umum untuk melarang artis wanita adalah terpakai.

“Pemakaian Garis Panduan Tersebut adalah secara menyeluruh tanpa diskriminasi terhadap mana-mana pihak dan ianya adalah Garis Panduan umum bagi aktiviti hiburan bagi maksud Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 2002 yang diterima pakai di Negeri Terengganu,” katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman pada hari ini.

Wan Sukairi berkata permohonan daripada Persatuan Penyokong Kuil Kwan Tee Than telah diterima oleh Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) pada 20hb Jun 2024.

“Permohonan tersebut bertujuan untuk memohon permit bagi upacara keagamaan dan persembahan nyanyian, tarian kebudayaan dan seni sempena ulang tahun kuil Kwan Tee Than pada 29hb Julai hingga 2hb Ogos 2024.

“Majlis telah meluluskan permohonan yang dikemukakan tertakluk kepada syarat-syarat yang perlu dipatuhi oleh Persatuan Penyokong Kuil Kwan Tee Than termasuk bagi persembahan nyanyian, tarian kebudayaan dan seni perlu mengikuti Garis Panduan Hiburan Negeri Terengganu (“Garis Panduan Tersebut”),” jelasnya.

Beliau berkata, berdasarkan kepada Garis Panduan tersebut persembahan nyanyian, tarian kebudayaan dan seni yang melibatkan artis wanita hanya dibenarkan kepada penonton wanita sahaja.

Walau bagaimanapun, pengecualian diberikan kepada persembahan artis lelaki dan artis wanita untuk penonton bukan Muslim.