PAS Putrajaya ingin menggesa Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dan Perbadanan Putrajaya untuk mengambil langkah konstruktif dengan menguatkuasakan pengharaman e-rokok dan vape di Putrajaya.
Gesaan ini sebagai satu langkah proaktif untuk memastikan kesejahteraan dan kesihatan hidup warga Putrajaya terutama dalam kalangan anak muda lebih terjamin.
Sehingga kini, enam (6) negeri iaitu Johor, Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis dan Pahang telah mengambil langkah bijak mengharamkan e-rokok dan vape. Beberapa negeri seperti Selangor dan Pulau Pinang pula akan menyusul.
Kini, KWP terutama Perbadanan Putrajaya wajar mengambil inisiatif untuk mengharamkan e-rokok dan vape di Putrajaya kerana ia mengandungi bahan berbahaya dan memudaratkan rakyat dalam jangka masa panjang.
Tambahan pula, laporan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2022 menunjukkan 14.9 peratus atau 330,000 pelajar sekolah berumur 13 hingga 17 tahun adalah pengguna vape.
Malah, lebih baik dalam perkembangan semasa ini, kerajaan memperuntuk semula empat perkara yang digugurkan dalam Rang Undang-Undang Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 iaitu berkait dengan larangan penjualan produk tembakau, larangan penjualan bahan merokok, merokok produk tembakau dan merokok produk pengganti tembakau terhadap individu yang lahir pada 1 Januari 2007 dan seterusnya (GEG).
Putrajaya bukan hanya wajar dikenali sebagai sebuah bandar pintar, hijau dan moden sahaja tetapi juga mengamalkan budaya hidup sihat serta selari dengan Maqasid al-Syariah.
Terima kasih.
MIOR ISFANDY MIOR AZIZAN
Ketua Penerangan
PAS Kawasan Putrajaya