Home Berita PAS Perlis

Kuasai Putrajaya Untuk Tegakkan Syariat Islam

3748
SHARE

Oleh: Muhammad Hadi

 

 

KANGAR : Tujuan PAS menyertai pilihan raya adalah bagi mendapatkan kuasa memerintah agar parti tersebut dapat melaksanakan syariat Islam di negara ini.

Menurut Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS, Ustaz Dato’ Dr. Hj. Nik Muhammad Zawawi Salleh, sedari dahulu, PAS konsisten dalam perjuangannya menegakkan Islam, meskipun terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran serta halangan.

Ujarnya, hanya dengan kuasa memerintah, Islam dapat didaulatkan manakala negara yang menepati konsep ‘Baldatun Tayyibatun Wa Rabbun Ghafur’ (negara sejahtera dan mendapat keampunan daripada Allah S.W.T.) dapat dibina.

Justeru kata beliau, PAS tetap meletakkan cita-cita menguasai Putrajaya, bukan untuk menguasai negara dan segala khazanah kekayaannya, tetapi demi matlamat yang lebih tinggi iaitu meraih keredhaan Allah S.W.T. (menerusi pelaksanaan syariat Islam).

“(Meraih keredhaan Allah) Sebab kita pegang Islam, lain dari Islam, perjuangannya hanya untuk sampai ke Putrajaya.

“Matlamat kita nak sampai ke syurga Allah, Putrajaya hanya matlamat jangka pendek sebab kita tahu, untuk mendaulatkan Islam, maka kita perlukan (kuasai) Putrajaya,” jelasnya.

 

Beliau yang juga Timbalan Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat berkata demikian pada Liqa’ Fikri PAS Perlis yang diadakan di Kompleks PAS Perlis (KOMPAS), dekat sini semalam.

Hadir sama dalam program berkenaan, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Hj. Hashim Jasin, Pesuruhjaya PAS Perlis yang juga ADUN Sanglang, YB. Mohd. Shukri Ramli serta Ketua Dewan Ulamak PAS Perlis, Ustaz Idris Yaacob.

Katanya lagi, ke arah mencapai matlamat berkenaan, pendekatan yang digunapakai PAS sentiasa berubah, namun tidak pernah menyimpang daripada syariat Islam.

Berbeza pula dengan parti-parti politik lain, yang ujarnya menghalalkan segala cara dan pendekatan demi mencapai matlamat.

“Islam matlamat kita, pendekatan menuju matlamat juga ada perbezaan mengikut zaman.

“Soalnya pendekatan yang bagaimana? Yang lebih bijak yang perlu kita buat untuk kita capai matlamat (yang telah ditentukan),” terangnya lagi.