KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (Perikatan Nasional), menimbulkan persoalan serius berhubung peruntukan kuasa penuh kepada Menteri Dalam Negeri dalam Rang Undang-Undang Agensi Persendirian (Pindaan) 2025, khususnya melibatkan hal pelesenan dan penetapan fi.
Dalam perbahasan Rang Undang-Undang tersebut di Dewan Rakyat, Che Mohamad Zulkifly menyatakan kebimbangannya mengenai potensi penyalahgunaan kuasa sekiranya Fasal 2, yang memberikan kuasa mutlak kepada Menteri untuk meluluskan lesen dan menentukan fi, diluluskan tanpa semak imbang yang jelas.
“Fasal 2 ini berpusat kuasa kepada Menteri. Jadi saya nak tanya, Timbalan Menteri tak ada kuasa? Menteri saja,” ujarnya, secara berseloroh membangkitkan isu kuasa Timbalan Menteri yang tiada peranan dalam peruntukan tersebut.
Beliau menekankan bahawa sebagai Ahli Parlimen, mereka perlu memastikan terdapat badan yang mengawal kuasa tersebut, bimbang sekiranya ‘sesiapa yang rapat dengan Menteri atau Timbalan Menteri, ataupun dengan PM’ boleh mendapatkan kelulusan dengan mudah, sambil merujuk kepada isu perolehan projek mega yang tular baru-baru ini.
“Janganlah kita nak luluskan undang-undang bagi kuasa penuh kepada Menteri ini,” tegas beliau, sebelum turut memetik Fasal 6 yang dilihatnya turut meletakkan kuasa mutlak kepada Menteri, walaupun surat dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Pendaftaran Negara (KPN), tetapi masih tertakluk kepada apa yang Menteri tetapkan.
Menjawab soalan tersebut, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah, menepis kebimbangan itu, menjelaskan bahawa keputusan yang dibuat oleh Menteri adalah berdasarkan kepada laporan dan tapisan yang rapi, bukannya secara sewenang-wenangnya.
“Menteri tidak buat keputusan tanpa ada laporan-laporan dan juga penelitian yang dibuat,” jelas Shamsul Anuar.
Beliau memberi contoh dalam proses pelulusan lesen syarikat, di mana syarikat perlu melalui tapisan keselamatan oleh PDRM terlebih dahulu, diikuti dengan temuduga oleh panel yang berkelayakan untuk meneliti semua dokumen permohonan yang diuruskan oleh unit urus setia.
“Setelah selesai barulah kita angkat syor kepada Menteri. Jadi sebenarnya, apa yang kita buat ini dia memang mematuhi peraturan-peraturan dan kita tidak sewenang-wenangnya buat peraturan untuk meletakkan individu mempunyai kuasa mutlak,” tegas Timbalan Menteri.
Keterangan Timbalan Menteri itu dilihat bertujuan memberikan jaminan kepada Dewan Rakyat bahawa proses pelesenan agensi persendirian kekal telus dan tertakluk kepada pemeriksaan keselamatan dan prosedur standard, meskipun kuasa muktamad diletakkan di bawah Menteri.