Home Berita PAS Terengganu

Kuala Terengganu Saji ‘Hutan Bandar’ di Bidong Flora Fest 2025

22
SHARE

SETIU – Pokok-pokok sayuran seperti kobis merah dan Lemon Balm yang dijadikan tanaman pertanian dalam bandar menjadi pilihan Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Terengganu sebagai salah satu tarikan ‘Hutan Bandar’ untuk bersaing dalam Bidong Flora Fest (BFF) 2025.

Penolong Kanan Pegawai Daerah (Pembangunan Fizikal), Mohd Amirul Awang berkata, konsep pertanian bandar ditonjolkan menjadi salah satu dari tiga konsep flora di daerah Kuala Terengganu yang terkenal sebagai ibu negeri dan bandar raya di negeri berkenaan.

“Mengetengahkan konsep taman semula jadi bertemakan Hutan Bandar ini, kita tunjukkan spesies flora yang ada di Kuala Terengganu.

“Antaranya ialah kategori pokok-pokok hutan sebagaimana yang terdapat di Taman Botani Bukit Panorama, seterusnya pokok-pokok bunga yang menghiasi landskap di bandar raya ini,” katanya ketika ditemui di BFF yang merupakan tarikan utama Karnival Terengganu International Endurance Park(TIEP) di Lembah Bidong, hari ini.

Karnival selama empat hari bermula semalam itu diadakan sempena Sambutan Ulang Tahun ke-63 Hari Keputeraan DYMM Sultan Terengganu.

Karnival tersebut turut menampilkan pelbagai aktiviti seperti pertunjukan kuda, kereta kuda berhias, pertunjukan payung terjun, perlumbaan motosikal lasak dan Fun Run.

Dalam pada itu, Pegawai daerah dan pentadbir tanah Kuala Terengganu, Azran Amin Mazlan yang hadir sama dalam program berkenaan betul-betul teruja dengan persiapan dilakukan pasukannya.

“Sejujurnya pejabat daerah belum didedahkan dengan program seperti ini, ini satu keunikan baru yang perlu ditonjolkan setiap daerah dan kita perlu fikir untuk ketengahkan.

“Bidong Flora Fest (BFF) merupakan satu anjakan baru dengan konsep yang perlu ditonjolkan.

“Ia mengubah paradigma kita bahawa dalam membangunkan sesuatu daerah kita tidak boleh tinggalkan lanskap kerana ia paru-paru bagi bandar,” katanya.

Menurutnya, taman Kuala Terengganu turut mempamerkan sistem penuaian air hujan ringkas serta tanda nama setiap pokoknya, selain menampilkan kumpulan penghibur jalanan sebagai tarikan.