KUALA TERENGGANU – Setelah terpalit dengan pelbagai isu termasuk masalah pengambilan tanah serta pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan COVID-19 akhirnya projek Jalan Pintas Kuala Terengganu (KT Bypass) mula dibuka kepada orang ramai secara rasmi hari ini.
Pembukaan laluan yang telah diwartakan menjadi Jalan Persekutuan FT03: Jalan Pintas Tok Adis-Durian Burung pada 16 September lalu dengan panjang jajaran 5.8 kilometer (km) itu disempurnakan Menteri Kanan Kerja Raya, Dato’ Seri Fadillah Yusof dan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Fadillah berkata, pembukaan jajaran jalan bagi projek bernilai RM220 juta itu bakal memberi banyak impak positif kepada rakyat dan dianggarkan kira-kira 70,000 pengguna menerima manfaat.
“Laluan alternatif ini akan mengurangkan kesesakan trafik di Jalan Persekutuan FT03 sedia ada di bandar Kuala Terengganu terutamanya pada waktu puncak, musim perayaan utama dan cuti sekolah.
“Projek ini juga akan meningkatkan aksesibiliti dan mobiliti pengguna Pantai Timur dan mampu menjana ekonomi di kawasan Kuala Terengganu khususnya kepada sektor pelancongan dan industri kecil dan sederhana,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Perasmian Pembukaan Jalan KT Bypass Dan Majlis Penyampaian Surat Setuju Terima (SST) disini, hari ini.
Projek pembinaan KT Bypass telah diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan pada Rolling Plan (RP) 3 RMKe-10 dengan siling sebanyak RM250 juta.
Walau bagaimanapun, kos projek telah meningkat kepada RM384.3 juta disebabkan peningkatan kos pengambilan balik tanah sebanyak tiga kali ganda.
Projek ini dilaksanakan secara konvensional perunding di mana tarikh milik tapak adalah pada 27 Julai 2016 setelah pengambilan balik tanah dapat diselesaikan.
Menurut Fadillah, KT Bypass bermula di Simpang Tok Molor dan berakhir melintasi Simpang Tok Ku dan bersambung di Laluan FT03 Kuala Terengganu – Kota Bharu.
“Panjang keseluruhan laluan yang direka bentuk adalah sepanjang 5.8 km secara empat lorong dua hala menggunakan piawaian U5. Skop projek ini turut melibatkan persimpangan bertingkat di Simpang Tok Molor dan Simpang Tok Ku,” jelasnya.
Sementara itu, pada majlis sama turut diadakan penyampaian Surat Setuju Terima (SST) kepada kontraktor yang berjaya memperolehi pelawaan projek oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) pada kali ini.
SST melibatkan tiga projek iaitu Projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) – Kuala Krai Ke Jambatan Sungai (sg) Lakit, Kelantan: Kampung (kg) Rahmat Ke Kg. Sg Peria (Seksyen 1A), Projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) – Jambatan Sg. Lakit Ke Gua Musang, Kelantan: Jambatan Sg. Lakit Ke Paloh 2 (Seksyen 2A), dan Projek Lebuhraya Kota Bharu Ke Kuala Krai (KBKK), Kelantan: Bukit Tiu Ke Kg. Berangan Mek Nab.
Projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) – Kuala Krai ke Jambatan Sg. Lakit, Kelantan: Kg Rahmat Ke Kg. Sg Peria (Seksyen 1A) melibatkan pembinaan jalan sepanjang 11.05 km. Tarikh milik tapak adalah pada 26 September 2022 dan tempoh kontrak adalah selama 36 bulan dengan nilai kontrak RM317,500,000.
Bagi Projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) -Kelantan: Jambatan Sg. Lakit Ke Paloh 2 (Seksyen 2A) pula melibatkan pembinaan jalan Jambatan Sg. Lakit Ke Gua Musang, sepanjang 20 km. Tarikh milik tapak adalah pada 9 Mei 2023 dan tempoh kontrak adalah selama 36 bulan dengan nilai kontrak RM326,500,000.
Manakala Projek Lebuhraya Kota Bharu Ke Kuala Krai (KBKK), Kelantan : Bukit Tiu Ke Kg. Berangan Mek Nab yang juga dikenali sebagai Lebuhraya Rakyat sepanjang 10 km merupakan sambungan jalan kepada Lingkaran Tengah Utama yang bermula dari Kuala Krai, Kelantan ke persimpangan Lebuhraya Pantai Timur di Karak. Tarikh milik tapak projek ini adalah pada 22 Ogos 2022 dan tempoh kontrak adalah selama 36 bulan dengan nilai kontrak RM262,000,000.00.