Home Berita PAS Perlis

Krisis Rohingya : Ambil Iktibar Atau Terima Akibatnya

1571
SHARE

Oleh: Muhammad Hadi

ARAU : Umat Islam di Malaysia digesa agar segera mengambil iktibar terhadap krisis yang sedang berlaku ke atas umat Islam di Arakan.

Begitulah ingatan yang disampaikan oleh Hj. Muhammad Sanusi Md. Nor ketika menyampaikan ceramah sempena Himpunan Anak Muda Istiqamah Perlis (HAMAS 4.0) di sini pada 24 November yang lalu.

Katanya, krisis yang berlaku bukan sekadar pergeseran dalaman negara Myanmar semata-mata, bahkan krisis tersebut sebenarnya sebahagian daripada usaha terancang musuh-musuh Islam yang bertujuan untuk menghapuskan etnik Muslim Rohingya.

Menurutnya lagi, umat Islam Rohingya suatu masa dahulu pernah memiliki kerajaan yang kuat, bahkan kewujudannya jauh lebih awal berbanding Kesultanan Melayu Melaka.

Namun, perkembangan pesat Islam di Arakan telah menarik minat kuasa-kuasa penjajah untuk mula memasuki dan menjajah negara tersebut, membunuh dan mengusir umat Islam Rohingya sehinggalah pada akhirnya, mereka menjadi bangsa tanpa negara.

“Rohingya ni tuan-tuan dia cerdik dulu daripada kita, dia terima Islam lebih awal daripada orang Melayu (iaitu) 250 tahun lebih awal daripada orang di Tanah Melayu.

“Namun disebabkan kekuatan yang dimiliki bangsa Rohingya inilah menyebabkan negara tersebut mula dijajah mulai tahun 1784 dan kemasukan British sekitar tahun 1824 pula menyaksikan puluhan ribu umat Islam Rohingya dibunuh,” ujarnya.

Hj. Muhammad Sanusi yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah juga mendedahkan bahawa perancangan untuk menghancurkan perpaduan umat Islam serta menghancurkan kekuasaan mereka sedang giat dijalankan di negara ini.

Sehubungan dengan itu, beliau menggesa agar umat Islam menyedari akan perkara ini serta bangkit bersatu atas nama Islam sekiranya tidak mahu menerima nasib seperti umat Islam Rohingya.