Home Berita PAS Perlis

KP Perlis Garis Lima Sebab Hadiri Ijtima’ Tarbawi 6.0

1809
SHARE

Oleh: Nur ‘Iffah

KANGAR : Ketua Pemuda PAS Perlis, Ustaz Muhammad Azmir Azizan menggariskan lima sebab utama mengapa program Ijtima’ Tarbawi 6.0 mesti dihadiri oleh golongan anak muda yang mendukung perjuangan Islam.

Sebab yang pertama jelasnya, program Ijtima’ Tarbawi 6.0 adalah program dwitahunan di bawah kendalian Akademi Tarbiyah (AKTAR) Dewan Pemuda PAS Malaysia yang sarat dengan pengisian berbentuk tarbiyah.

Program berkenaan juga ujarnya menjadi platform pertemuan dan perbincangan para pendukung dan penyokong perjuangan Islam yang datang dari seluruh negara.

“Mereka ini datang dari seluruh negara, bukan sahaja untuk mendengar pengisian-pengisian yang diberikan, tetapi juga untuk saling berkenalan serta bertukar-tukar idea dan pengalaman bagi memantapkan lagi gerak kerja jamaah,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Sebab yang ketiga pula menurutnya, penganjuran program Ijtima’ Tarbawi bermatlamatkan untuk memberikan kefahaman dan pengukuhan kepada para pemuda PAS tentang makna perjuangan serta pengorbanan dalam perjuangan.

Seterusnya, beliau berkata para peserta yang hadir berpeluang mendapat pentarbiyahan secara khusus dan bersemuka, berpusat dari butir mutiara para pimpinan utama PAS.

“Sebab yang kelima pula, kehadiran ke Ijtima’ Tarbawi bakal membolehkan kita memahami prinsip perjuangan PAS dengan lebih jelas di samping mendapat penjelasan berhubung pendekatan-pendekatan terkini serta isu-isu semasa PAS.

“Jadi, ada lima sebab utama mengapa para pemuda yang mendukung perjuangan Islam, mesti menjadikan Ijtima’ Tarbawi 6.0 sebagai program wajib hadir,” jelasnya.

Berbaki kurang 18 hari lagi, beliau turut mengalu-alukan kedatangan para peserta dari seluruh negara bagi mengimarahkan ijtima’ yang bertemakan ‘Keselarasan Antara Prinsip dan Pendekatan Terkini’ pada kali ini.

Ijtima Tarbawi 6.0 bakal berlangsung di Maahad Tahfiz Al-Quran Al Imam An Nawawi (MATIN) selama dua hari, bermula 26 Oktober ini, dengan seramai 5000 peserta dijangkakan hadir.