Home Artikel PAS Perlis

KP PAS Perlis Ucap Selamat Berjuang Kepada Kontinjen Perlis

552
SHARE

Oleh: Nur ‘Iffah

KANGAR : Dua buah institusi pendidikan di bawah kelolaan Dewan Pemuda PAS Negeri Perlis akan mewakili negeri ini dalam dua kejohanan peringkat kebangsaan yang akan berlangsung pada penghujung bulan Ogos ini.

Sekolah Rendah Islam Al-Furqan (SRIAF) akan membawa cabaran negeri Perlis ke Kejohanan Sukan SRITI Kali Pertama yang dijadualkan berlangsung pada 30 Ogos hingga 1 September 2018, di Padang HICOM – Honda, Sungai Petani, Kedah.

Pasukan yang membariskan seramai 45 orang atlet dan 12 orang guru pengiring ini bakal bersaing dalam lima acara iaitu bola sepak, bola jaring, 70 meter (lelaki), 70 meter (perempuan), 4×70 meter (lelaki) dan 4×70 meter (perempuan).

Sementara itu, seramai 34 orang peserta akan mewakili PASTI Negeri Perlis dalam Alam Ria PASTI Kebangsaan yang akan berlangsung di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM), Batu Caves, Selangor.

Pasukan ini turut menyenaraikan seramai 14 orang guru pengiring ke temasya tahunan yang akan berlangsung selama dua hari bermula 31 Ogos ini.

Persediaan rapi yang dibuat oleh kedua-dua kontinjen ini turut mendapat perhatian Ketua Pemuda PAS Perlis, Ustaz Muhammad Azmir Azizan.

Beliau yang ditemui melahirkan rasa syukur dan gembira dengan segala persiapan yang telah dibuat serta memuji kesungguhan yang telah ditunjukkan oleh para peserta dan guru pengiring.

Selain itu, beliau turut mengucapkan selamat berjuang serta mendoakan agar kedua-dua pasukan daripada negeri ini bakal beroleh kejayaan yang cemerlang dalam kedua-dua kejohanan tersebut.