Oleh: Hedzer Ibrahim
DARUL UMMAH, Khamis – PAS Kawasan Titiwangsa telah menjalankan sebuah Program Penyampaian Kotak Sumbangan selama dua hari kepada pelbagai peringkat penerima sumbangan. Program di musim PKP ini adalah kesinambungan program sumbangan kebajikan kepada penduduk di kawasan Titiwangsa.
Pada 28 April 2020, bermula jam 10.30 pagi seramai 33 penerima yang berbagai latar belakang pekerjaan, fahaman politik, bangsa dan agama, malah mereka yang tampil juga terdiri daripada bukan warganegara. Dari sini, pihak penganjur menerima pelbagai aduan daripada para penerima sumbangan.
Sepanjang proses penyampaian kotak sumbangan dijalankan, pihak penganjur sentiasa memastikan prosedur yang ditetapkan oleh MKN dipatuhi seperti pemeriksaan suhu badan sebelum masuk ke dewan pungutan barangan, pemakaian penutup mulut dan hidung serta penjarakkan sosial satu meter. Para penerima sumbangan juga hanya dibenarkan berada di premis seramai tiga orang sahaja dalam satu masa.
Pimpinan Kawasan PAS Titiwangsa yang hadir untuk menyempurnakan penyerahan sumbangan adalah Yang Dipertua, Hj. Khairul Anuar Abd Manap, Ketua Urusan Ulamak, Ustaz Suridzal Abdul Rahim dan Ketua Dewan Muslimat, Puan Sharifah Rashidah Sayed Idrus.
Pada 29 April 2020 pula, seramai 50 orang Amilin PAS menerima kotak sumbangan sebagai tanda menghargai jasa baik dan tenaga yang selama ini mereka sumbangkan.
Penyerahan sumbangan ini dihadiri oleh Yang Dipertua PAS Kawasan, Ketua Urusan Ulamak dan Ketua Dewan Muslimat. Para pimpinan juga telah memberi semangat kepada para Amilin untuk terus berjuang serta tingkatkan amalan baik semasa wabak sedang melanda dunia di bulan Ramadhan yang mulia.
Selepas penyampaian sumbangan, Sukarelawan PAS Zon Pandan Titiwangsa telah bergegas untuk membuat Ziarah Terkawal dalam ‘Ops Bantuan Segera’ kepada 6 buah keluarga yang dikendalikan oleh Fairuz Yusuf dan Hedzer Ibrahim. Sukarelawan telah mendapat maklumat bahawa tiga buah keluarga yang berkongsi menyewa sebuah rumah dan tinggal dalam bilik masing-masing. Dalam kalangan mereka, terdapat ketua keluarga yang kurang upaya (OKU). Keadaan ketiga-tiga buah keluarga amat dhaif. Selain itu, Sukarelawan Zon Pandan Titiwangsa juga menziarahi dua lagi keluarga yang hilang punca pencarian dan mengalami keuzuran. Manakala ada yang mengalami masalah kesihatan.
Sukarelawan Zon Pandan Titiwangsa bersedia mengumpulkan barangan sumbangan untuk program esoknya pula dan seterusnya melalui sumbangan orang ramai.
Justeru itu, PAS Kawasan Titiwangsa mengajak warga Malaysia yang prihatin untuk turut menyumbang kerana pembelian barang-barang keperluan dapur masih diteruskan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Dilanjutkan (PKPD), lebih-lebih lagi untuk bekalan makanan mereka di bulan Ramadan.
Sumbangan boleh disalurkan ke akaun Maybank : 5640-9850-4101 (PARTI ISLAM SEMALAYSIA KAWASAN TITIWANGSA). Untuk maklumat lanjut, boleh berhubung dengan Cikgu Yusoop (011-13373066) atau Hedzer Ibrahim (019-2708639).
Kami dahulukan dengan ucapan terima kasih. Jariah anda kami sampaikan kepada mereka yang berhak mendapatkannya.