KUALA TERENGGANU – Kerja bagi membaik pulih laluan jalan yang menghubungkan Felda Aring, Gua Musang dan Tasik Kenyir akan dimulakan sebaik sahaja menerima peruntukan sebanyak RM36 juta daripada Kementerian Ekonomi.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Hanafiah Mat berkata, permohonan bagi kerja pembaikan itu telah diangkat oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Terengganu.
Katanya, kerajaan negeri akan terus memantau perkara tersebut dengan serius bagi memastikan kerja-kerja baik pulih dapat disiapkan mengikut jadual demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat.
“Kos keseluruhan sebanyak RM36 juta ini melibatkan kerja pembinaan jambatan baharu (sepanjang 150 meter) di lokasi terjejas serta kerja pemulihan cerung yang mengalami runtuhan.
“Kerja-kerja baik pulih akan dimulakan sebaik sahaja peruntukan diterima daripada Kementerian Ekonomi.
“Pada masa ini pihak JKR sedang menyediakan pelan teknikal, dokumen reka bentuk serta menjalankan kerja-kerja awal bagi memastikan proses pelaksanaan dapat dimulakan tanpa kelewatan setelah peruntukan diluluskan,”ujarnya.
Beliau berkata demikan ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Dr Mamad Puteh semasa Mesyuarat Pengal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelima Belas, di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.
Mengulas lebih lanjut katanya, beberapa langkah alternatif telah diambil bagi menyelesaikan kejadian runtuhan cerung yang mengakibatkan berlaku kerosakan jalan sepanjang 100 meter sekali gus menjejaskan kelancaran perhubungan antara negeri Terengganu dan Kelantan.
“Sebagai langkah interim, pengguna jalan raya yang terkesan dari kedua-dua arah (menggunakan laluan persekutuan FT036) sama ada dari Hulu Terengganu atau Kota Bharu bolehlah menggunakan laluan alternatif FT247 ke FT03.
“Hebahan berkaitan perkara itu telah disampaikan melalui saluran rasmi media sosial dan hebatan tempatan bagi memastikan maklumat sampai kepada orang ramai,” ujarnya.
Dalam pada itu katanya, kerja-kerja penambahbaikan yang dicadangkan selain pembinaan jambatan baharu adalah membaik pulih Jalan Tuju sepanjang 300 meter.
“Bagi memastikan sambungan kepada jambatan baharu (selain itu) kerja-kerja geoteknikal dan perlindungan cerun termasuk pembinaan struktur penahan, pemasangan lampu sepanjang jalan kawasan terlibat untuk keselamatan pengguna dilaksanakan.
“Pemasangan perabot jalan seperti papan tanda, pengadang jalan dan kemudahan untuk keselamatan, pembinaan sistem perparitan jalan bagi memastikan saliran air yang baik dan dapat mengelakkan hakisan,” jelas beliau.