KUALA TERENGGANU – Konsortium Perumahan Rakyat Terengganu Sdn Bhd (KOPERAT) mencatatkan keuntungan sebelum cukai berjumlah RM1,794,108 bagi tahun kewangan 2022 berbanding RM758,977 tahun sebelumnya.
Pengerusinya, Hishamuddin Abdul Karim berkata perkembangan itu sekaligus merekodkan peningkatan penjualan rumah sebanyak 11.4 peratus iaitu RM18.5 juta tahun lalu berbanding RM16.2 juta, tahun sebelumnya.
Menurutnya rekod penjualan yang meningkat itu, hasil daripada jualan unit-unit rumah, dibina di Taman Rakyat Bistari, Bukit Kuang, Kemaman dan Taman Koperat Ukhwah, Dungun.
Katanya keuntungan pada tahun lalu membolehkan KOPERAT membayar dividen berjumlah RM580,055 kepada pemegang sahamnya termasuk GPQ Sdn Bhd (GPQ) dan Pesama Timber Corporation Sdn Bhd (PESAMA).
“Pada hari ini kita (KOPERAT) telah membuat bayaran dividen kepada dua pemegang saham syarikat iaitu GPQ berjumlah RM377,036 dan PESAMA RM203,019 di mana masing-masing memegang pegangan saham sebanyak 65 peratus dan 35 peratus,” katanya ketika bercakap kepada media selepas Majlis Penyerahan Dividen Tahun Kewangan 2022 di Permai Hotel di sini semalam.
Turut hadir Pengerusi GPQ, Dr Mamad Puteh, Pengerusi PESAMA, Ir Saiful Azmi Suhaili dan Pengurus Besar KOPERAT, Syed Abdul Rahman Engku Sulong.
Hishamuddin seterusnya berkata kini KOPERAT sedang menyiapkan 237 Unit di Kemaman, Besut dan Kuala Nerus.
Katanya bagi prospek hadapan, KOPERAT akan membangunkan 924 unit rumah dan bakal disiapkan dalam tempoh empat tahun.
Menurutnya, daripada jumlah tersebut 564 unit akan dibangunkan di Alor Limbat yang dijangka akan dilancarkan akhir bulan ini oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
“Projek perumahan yang kita (KOPERAT) bina sentiasa mendapat sambutan daripada orang awam di samping kita turut mencari alternatif baharu untuk mendapatkan tanah baharu bagi membina lebih banyak unit rumah di masa hadapan di semua daerah di negeri Terengganu,” ujarnya.
Sementara itu PESAMA sebagai pemegang saham kedua terbesar KOPERAT menyerahkan sumbangan pampasan insurans dan khairat kematian kakitangan syarikat berjumlah RM62,000 kepada waris keluarga kakitangan berkenaan.
Penerima-penerima tersebut termasuk Noriza Embong dan Azizoah Mohd Arifin balu kepada dua kakitangan syarikat yang meninggal dunia akibat penyakit kegagalan buah pinggang.
“Jumlah pampasan insurans yang diterima oleh kedua-dua keluarga mangsa adalah daripada dua syarikat insurans masing-masing sebanyak RM21,000 dan RM10,000,” jelasnya.