Oleh: Musfirah
KEMAMAN – Usaha memperkukuh peranan ulama dan umarak dalam mendepani cabaran ummah masa kini terus diperkasakan menerusi penganjuran Konvensyen Profesionalisme Cendekiawan Umarak Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata konvensyen itu bukan sekadar wacana ilmiah, tetapi medan melahirkan lebih ramai cendekiawan yang berkhidmat demi agama, bangsa dan tanah air.
“Konvensyen berprestij ini mengangkat tema “Kebangkitan Ulama Terengganu Dahulu dan Sekarang”.
“Gabungan ulama dan umarak adalah kunci kestabilan, kemajuan serta kekuatan ummah,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Konvensyen Cendekiawan Terengganu yang berlangsung di Darul Iman Training Centre (DITC), Kemaman hari ini.
Konvensyen tersebut disertai oleh para ilmuwan, pendidik, serta wakil institusi agama dari seluruh negeri Terengganu.
Menurut beliau, penekanan utama konvensyen adalah untuk menggabungkan kekuatan ulama dan umarak demi memastikan negeri terus dipimpin dengan ilmu, kebijaksanaan serta prinsip yang teguh dan berteraskan syariat.
“Sebagai usaha mengimbas warisan keilmuan negeri, memperkukuh profesionalisme dalam bidang pendidikan, serta memperkasa perjuangan Islam dalam konteks semasa,” tambahnya.