Home Berita PAS Terengganu

Kontinjen Terengganu Juara Kejohanan Memanah Kebangsaan

15
SHARE

KUALA TERENGGANU – Kontinjen Negeri Terengganu dinobatkan sebagai juara keseluruhan Pertandingan Mahrajan Memanah Sekolah Menengah Agama Malaysia (MESMA) Peringkat Kebangsaan Kali Ke-4 Tahun 2024 bertempat di Mini Stadium Ketereh, Kota Bharu, Kelantan.

Jurucakap Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) berkata kejohanan tersebut telah diadakan empat hari bermula 2 hingga 5 Ogos 2024 yang melibatkan acara recurve dan tradisional lelaki dan perempuan membabitkan 16 peserta dan 9 orang pegawai bagi setiap negeri.

“Pertandingan itu telah bermula pada tahun 2018 dan merupakan salah satu aktiviti tahunan anjuran JAKIM dengan kerjasama Jabatan, Majlis dan Yayasan Islam Negeri dan disertai oleh semua Sekolah Menengah Agama di seluruh negara.

“Ia bagi menanam dan meningkatkan semangat kesukanan dan penampilan ilmu dalam kalangan pelajar Sekolah Menengah Agama serta memupuk semangat persahabatan dan silaturahim di antara negeri-negeri semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak,” katanya dalam kenyataan media pada hari ini.

Majlis Perasmian Penutup dan pengurniaan hadiah telah disempurnakan oleh Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi Kelantan, Wan Roslan Wan Hamat bertempat di Hotel H Elite Kota Bharu, Kelantan.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAKIM, Dr Ruslan Said dan Pengarah Bahagian Pendidikan JAKIM, Mohd Fadzil Abu Kasim.

JAKIM berkata, penghargaan diberikan kepada semua pihak yang telah menjayakan Pertandingan Mahrajan Memanah Sekolah Menengah Agama (MESMA) Malaysia Peringkat Kebangsaan Kali ke-4 Tahun 2024/1446.