Okeh: Dr Riduan Mohamad Nor
Kampus adalah medan pemupukan nilai intelektual, mencanai idealisme serta melatih mahasiswa sebagai pemimpin masa depan. Kampus adalah ruang terbaik untuk membentuk generasi ilmuan dan tenaga kompeten , mahir dan terlatih . Atas alasan kesakralan inilah maka kampus wajar dijauhkan daripada budaya murahan dan ” sensate culture”, kampus mestilah menjadi wadah yang menjunjung intergriti , kemuliaan ilmu dan karomah insaniah.
Antara isu terkini yang merobek perasaan pencinta ilmu ialah garis panduan mengadakan konsert terbuka di kampus-kampus universiti tempatan oleh KPT. Garis panduan itu pula dibantah hebat oleh politikus bukan Islam yang menjunjung nilai liberal sekular yang akhirnya memperlihatkan siapakah yang paling berkuasa sekarang , menjadi ” big brother” dalam pakatan kerajaan hari ini. Segalanya caca marba dan keruh dibawah nakhoda PMX, tiada keperluan untuk merubah kemuliaan menara gading melainkan dengan tujuan politik murahan, untuk merengkuh sokongan anak-anak muda.
Dalam sejarah dunia kampus penghujung dekad 1960an dan awal 70an, kampus pernah ranggi dengan anak-anak muda berpakaian stail bohemian, berambut panjang dan menjadi penikmat musik. Ini kerana pengaruh ” woodstock” yang telah merajai hati anak muda, menjadi fenomena dunia sekaligus simbol penentangan kepada penjarahan Ameria di Vietnam. Kampus-kampus seluruh dunia menjadikan konsert dan budaya hippies sebagai wahana menyebarkan kebencian kepada pemerintah dan pihak kapitalis. Fenomena Jimmy Hendrix, Rolling Stones, Led Zeppelin diseluruh dunia juga mencambahkan budaya berhibur di dalam kampus, paralel dengan semangat ” the young angry man” yang sedang bersemarak.
Dizaman kebangkitan semula Islam , kumpulan mahasiswa Islam giat menentang konsert – konsert sehingga menimbulkan kebimbangan kerajaan sekular dipelbagai negara umat islam. Di tanahair kita, antara kes bantahan yang pernah meledak dimedia arus perdana seperti bantahan konsert Sudirman di UKM, bantahan konsert Sheila Majid di UM, bantahan konsert RTM di UIA Petaling Jaya pada 5ahun 1994, bantahan konsert M. Nasir dan puluhan bantahan yang lain. Kumpulan mahasiswa Islam ini akhirnya juga menjadi penentang utama konsert diluar kampus seperti bantahan konsert Tina Turner, Scorpions, Metallica dan lain-lain artis luar negara.
Berhibur tanpa batasan akan menjadikan kita hilang nikmat beribadah. Apatah lagi hiburan yang tidak patuh syariah dan tidak disiram ketaatan kepada Allah. Hiburan bersalut dosa menjadikan hati kita hitam, menjadi sulit untuk melakukan kebajikan bahkan tangan dan mulut senang untuk mengeji dan menista. PAS berbeda dengan parti konvensional yang lain.
Penggalang pemikiran pragmatis tidak akan meletakkan acuan dosa dan pahala dalam tindakan mereka, pertimbangan moral dam akhlak tiada dalam neraca pemikiran
Seni dan hiburan diakui keabsahannya mendidik manusia, bahkan merupakan salah satu daripada method dakwah yang digunakan oleh para ulamak dalam mengembangkan dakwah Islam. Di Nusantara, ketika Islam mulai berkembang terutama sejak abad ke-13 Masehi, para ulamak telah mengggunakan pelbagai pendekatan seperti perkahwinan, penubuhan kerajaan Islam, pedagangan dan sebagainya sebagai method dakwah. Untuk melengkapkan lagi gerakan dakwah, sebahagian ulamak di Nusantara menjadikan seni dan hiburan ini sebagai method dakwah mereka. Antaranya seperti dakwah wali Songo dalam masyarakat Jawa, merubah medium seni sebagai wahana dakwah yang interaktif.
Sepanjang sejarah perkembangan dakwah, para ulamak telah menggunakan seni suara (muzik), wayang kulit, seni ukir, seni bina, penulisan sastera, seni mempertahankan diri dan beberapa kesenian yang lain sebagai sebahagian daripada pendekatan. Salah satu faktor kepentingan dakwah melalui seni juga berjaya merengkuh perhatian manusia dengan seni yang berkiblat. Kita semua sewajarnya membuat penelitian terhadap hiburan yang tidak menjuruskan anak muda kepada “sensate culture”, budaya hiburan kosong yang melalaikan dan merencatkan intelektual.
Masyarakat menara gading perlukan vitamin intelektual dan hiburan patuh syariah yang membina peradaban. Generasi muda kampus sepatutnya insaf dengan membuncahnya aktiviti penagihan najis dadah dikalangan anak muda, gejala buta agama, kecanduan melampau pada hiburan serta ghazwatul fikri yang dilancarkan oleh musuh Islam untuk merosakkan belia dan anak muda. Moga generasi muda kampus era android ini merubah cara melihat sarwajagat, jadilah insan peduli ummah , ringan membantu orang lain, menyintai petunjuk Rabbani, berteleku memohon keampunan Tuhan dan bercermin diri. Moga generasi muda terpelajar ini memahami apa aspirasi dan bentuk hiburan yang dibenarkan dalam agama ini, contohnya tolak kehadiran artis Barat yang menjunjung nilai kebejatan seperti Coldplay, 1975, blackpink dan lain- lain . Jangan biarkan kampus tempat membiak hedonisme dan tempat menyubur kerancuan berfikir, bertindak sekarang untuk kampus kekal menjadi wadah mulia melahirkan insan Rabbani yang seimbang jasmani,emosi , rohani dan intelektual!.
(Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI)