KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri sedang membaik pulih Kompleks Kastam Pengkalan Gawi yang terbiar sejak 2015 untuk dijadikan kampus sementara Kolej al-Quran Terengganu (KQT) pada Januari tahun hadapan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat berkata, ini kerana institusi yang sedia ada di Padang Midin tidak lagi dapat menampung jumlah pelajar yang ramai.
Katanya, ini juga sebagai persediaan ke arah menaik taraf KQT kepada kolej universiti.
“Adalah menjadi hasrat kerajaan untuk mengembalikan semula institusi kerajaan negeri yang kita miliki sendiri sebagaimana Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KUSZA) dahulu, walaupun kita terpaksa bermula dari awal semula tetapi kita yakin usaha dan komitmen ini akan membuahkan hasil pada masa akan datang.
“Sekarang ini kita cuba untuk menyiapkan serta baik pulih bangunan ini dalam menyediakan suasana pembelajaran yang sewajarnya sebelum Januari, insya-Allah kita akan cuba sebaik mungkin,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) ketika melakukan tinjauan ke kompleks berkenaan, pada hari ini.
Mengulas lanjut katanya, pihak kerajaan sebenarnya telah meluluskan tapak 300 ekar di Durian Mentangau untuk tujuan pembinaan kolej universiti berkenaan yang kini sedang digerakkan proses untuk disiapkan dalam memastikan apa yang menjadi hasrat selama ini melalui sektor pendidikan dapat dicapai.
“Untuk dinaik taraf ada syarat-syarat Malaysian Qualifications Agency (MQA) yang mesti dipenuhi, untuk sementara kita tempatkan pelajar di sini dahulu khusus untuk pengambilan pelajar peringkat ijazah dengan kerjasama Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).
Beliau berharap agar penglibatan Majlis Daerah Hulu Terengganu (MDHT), pihak KQT, Unit Perancang Ekonomi Terengganu (UPEN) dan sebagainya akan dapat melancarkan segala urusan berkaitan.
“Melalui kerjasama yang baik ini, akan dapat menyelesaikan beberapa permasalahan untuk kita percepatkan perjalanan pembangunan pendidikan ini.
“Terima kasih kepada semua pihak khususnya pihak kawasan setempat, jadi kita berharap ia akan dapat menghidupkan kawasan sekitar, dengan adanya institusi pengajian ini,” katanya.
Untuk rekod, Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar sebelum ini memaklumkan kolej berkenaan sedang melalui proses transformasi untuk dijadikan sebagai sebuah Kolej Universiti menjelang tahun 2025 melalui peruntukan sebanyak RM11 juta.
Ia melibatkan kerja menaik taraf cawangan di Pengkalan Gawi serta pembinaan kampus baru di Durian Mentangau yang akan melalui proses transformasi bertahap selama empat tahun bagi memenuhi keperluan sektor pendidikan di negeri ini.