Oleh : HABSAH ALI
KUALA LUMPUR, 30 Apr – Ahli Dewan Negeri (ADN) Beserah YB Dato’ Andansura Rabu menyatakan komitmennya untuk menyumbang kepada usaha menambah baik amalan prinsip demokrasi di negara ini dengan menyertai Kaukus Demokrasi Pelbagai Parti.
Menurut beliau, penyertaannya pada awalnya agak keberatan kerana kekangan masa, namun komitmen itu diteruskan memandangkan perbincangan banyak dilakukan secara dalam talian.
Kaukus ini merupakan satu gabungan rentas parti yang memberi fokus kepada agenda reformasi demokrasi, dan ia adalah inisiatif beberapa pertubuhan masyarakat sivil yang dianggotai oleh lapan ADN dari pelbagai parti politik dan negeri.
Andansura hadir ke sesi mesyuarat dan pelancaran rasmi kaukus yang berlangsung di sini hari ini, sebagai lanjutan kepada beberapa siri mesyuarat sebelum ini.
Kaukus memberi tumpuan kepada tiga fokus utama iaitu reformasi institusi di peringkat negeri, pendanaan politik, dan peruntukan pembangunan kawasan. Antara usaha yang akan digerakkan termasuk meningkatkan kesedaran awam, sesi libat urus dan konsultasi serta perkongsian maklumat secara berterusan.
Perbincangan lanjut akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memperincikan strategi pelaksanaan reformasi di peringkat negeri.