Oleh ROSLI ABDUL JABAR
Syahrut Tarbiyyah 1
Pasaraya yang menyediakan pelbagai tawaran seperti harga paling murah, bonus belian dan pelbagai hadiah pastinya akan menjadi daya tarikan pengunjung, pastinya ia menjadi kegembiraan bagi mereka yang berkemampuan ataupun mempunyai duit, namun ianya tidak mengembirakan bagi mereka yang tidak mempunyai duit atau kekurangan modal untuk membeli belah.
Begitu juga dengan tawaran yang hebat yang dijanjikan Allah pada bulan ramadhan ini, lipat ganda pahala amalan seperti membaca Al Qur’an, solat sunat dan ada didalamnya solat tarawih serta lailatul Qadar juga penghapusan dosa, namun kegembiraan terhadap tawaran hebat ini tidak mungkin dirasai oleh mereka yang kurang keyakinannya terhadap janji Allah dan juga mereka yang lemah imannya.
Syahrut Tarbiyyah 2
Kemuliaan manusia di sisi Allah swt adalah kerana taqwanya, Allah tidak memilih manusia untuk mendapat kemuliaan di sisinya dari sudut bangsa, harta, warna kulit, rupa paras dan apa sahaja yang dimiliki oleh manusia kerana semuanya itu tidak mungkin diperolehi melainkan dengan kurniaan Allah yang memiliki sekelian alam.
Allah swt hanya memilih hambaNya yang bertaqwa untuk dikurniakan darjah kemuliaan di sisiNya. Puasa adalah antara ibadah yang mendidik dan membentuk insan bertaqwa, merugilah manusia apabila ibadah yang menghasilkan natijah yang begitu hebat ini dipersiakan ataupun dilaksanakan dengan tidak menepati tuntutan ibadah puasa itu sendiri ataupun dilaksanakan dengan tidak bersungguh-sungguh.
Syahrut Tarbiyyah 3
Awal ramadhan kita melihat ramainya bersemangat dan teruja untuk mengerjakan solat terawih dan berjamaah, hinggakan ada masjid dan surau yang melimpah.
Namun kebiasaannya tidak diwaktu akhir, sedangkan waktu akhir itulah terhimpun segala kebaikan dan tawaran-tawaran hebat dari Allah swt, apatah lagi apa yang dilihat oleh Allah swt ialah pada pengakhirannya.
Syahrut Tarbiyyah 4
Dikala kita menahan lapar dan dahaga ketika mengerjakan Ibadah puasa pastinya selera kita terhadap makanan akan bergolak terutama di waktu hampir berbuka, namun lapar kita hanya seketika, kita masih boleh makan makanan kegemaran atau apa sahaja yang kita kehendaki bila tiba waktu berbuka.
Cuba kita bayangkan saudara-saudara kita yang miskin dan juga yang sedang berada dalam situasi perang dan penindasan seperti Syria, Rohingya, Somalia dan lain-lain, lapar mereka berterusan, kerana mereka tidak punya apa-apa, betapa mereka terpaksa menanggung penderitaan kelaparan berterusan, begitulah tujuan puasa diantaranya supaya kita merasai bersama penderitaan mereka.
Penulis adalah Pesuruhjaya PAS Pahang
Adun Tanjung Lumpur