KUALA TERENGGANU – Koperasi Kakitangan Kerajaan Terengganu (KOKITAB) Berhad terus mengukir kejayaan apabila tersenarai sebagai salah satu daripada 100 koperasi terbaik Malaysia, berada di kedudukan ke-48 secara keseluruhan.
Lebih membanggakan, KOKITAB berjaya mengekalkan kedudukan dalam senarai 100 koperasi terbaik negara selama empat tahun berturut-turut sejak 2022.
Pada tahun 2022, KOKITAB berada di kedudukan ke-80, meningkat ke tangga ke-70 pada 2023, ke-68 pada 2024, sebelum melonjak ke tangga ke-48 tahun ini.
Pengerusi Kehormat KOKITAB, Alias Mustaffa berkata, kejayaan tersebut adalah hasil kepercayaan ahli, kerjasama erat dalam pengurusan serta semangat yang menjadi tunjang kekuatan koperasi sejak penubuhannya.
“Antara pencapaian bersejarah ialah pembinaan Wisma KOKITAB Kuala Terengganu pada tahun 1970.
“Kemudian, kompleks perniagaan di Padang Midin, Setiu dan Kuala Nerus, diikuti Wisma KOKITAB Kuala Nerus bernilai RM11 juta yang siap pada 2020,” katanya ketika berucap di Majlis Sambutan 75 Tahun Penubuhan KOKITAB di Wisma KOKITAB Kuala Nerus di sini hari ini.
Menurutnya, dalam tempoh 75 tahun, KOKITAB turut aktif dalam pelaburan hartanah termasuk projek perumahan, penjualan rumah dan tanah lot kepada ahli bagi menjana pendapatan koperasi serta memberi manfaat terus kepada anggota.
Sementara itu, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan) merangkap Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Terengganu, Datuk Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak berkata KOKITAB telah memainkan peranan besar dalam memperkukuhkan ekonomi komuniti sejak penubuhan.
“Penubuhannya menjadi mercu tanda keteguhan, dedikasi dan keprihatinan terhadap kebajikan anggota. Saya berharap KOKITAB terus melakar kejayaan dan menjadi contoh kepada koperasi lain,” katanya yang mewakili Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Nara Setia.