Oleh : KASDI KOSMIN
Indera Mahkota, 2 Disember – Jentera Pilihan Raya PAS kawasan Indera Mahkota diminta untuk memulakan usaha mengumpul dana dari kocek ahli bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16.
Permintaan tersebut disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah, Andansura Rabu, ketika mengadakan lawatan kerja ke cawangan-cawangan PAS di sekitar DUN Beserah.
Menurut Andansura, dana pilihan raya amat penting untuk memastikan kelancaran gerak kerja kempen, termasuk penganjuran program-program turun padang, bahan-bahan penerangan, dan logistik.
“Persiapan rapi perlu dibuat lebih awal agar kita dapat memastikan setiap pelusuk kawasan dapat dihubungi dan mesej perjuangan sampai ke semua lapisan masyarakat,” katanya.
Selain itu, beliau turut menyeru agar program ziarah dan kebajikan diperkasakan, ianya bukan sahaja menjadi medium untuk mendekati masyarakat, tetapi juga sebagai langkah untuk menyantuni golongan yang memerlukan.
“Melalui program kebajikan, kita dapat membina hubungan yang lebih erat dengan masyarakat dan menyampaikan mesej keprihatinan serta nilai-nilai murni yang diperjuangkan parti,” tambahnya.
Andansura turut menekankan bahawa usaha ini memerlukan sokongan padu daripada semua pihak, termasuk ahli dan penyokong, bagi memastikan visi perjuangan parti PAS teraju Pahang menjadi kenyataan di PRU-16 akan datang.