Home Berita PAS Pulau Pinang

KMM: Ketengah isu semasa, bawa penyelesaian

68
SHARE

Oleh AISHAH NUR

PERMATANG PAUH, 21 JANUARI – Kisah Malam Minggu (KMM) merupakan program bual bicara yang mengetengahkan isu semasa bertujuan memberi manfaat dan penyelesaian kepada semua, ujar Ketua, Dewan Muslimat PAS Pulau Pinang Maziah Khamis semasa membuka tirai program KMM pertama 2022 pada 14 Januari yang lalu.

Menurut beliau lagi, program anjuran Lajnah Penerangan dan Media Baharu Dewan Muslimat PAS Pulau Pinang ini, disiarkan secara langsung di laman facebook DMPN Pulau Pinang dengan menampilkan panel yang berpengalaman dalam bidang masing-masing.

Maziah berharap agar KMM yang kini sudah memasuki siri yang ke 12, akan mencambah minda serta menjadi pilihan masyarakat untuk memperoleh ilmu dan maklumat yang sahih selari dengan ajaran Al Quran dan Sunnah.

KMM kali ini membawa tajuk “Sekolah: bebanan atau didikan?” menjemput Imam Masjid Bertam Indah, yang merupakan mantan Pengarah Kolej Vokasional Butterworth, Ustaz Haji Ahmad Zawawi Mohd. Ali bagi merungkai pelbagai isu pendidikan terutama pasca pandemik Covid-19.

Beliau yang berpengalaman luas selama 30 tahun dalam bidang pendidikan mengupas pelbagai persoalan antaranya dengan membawa konsep kepentingan ilmu dan menuntutnya merupakan satu kefardhuan yang mesti diteruskan walau dengan cara apa sekalipun.

Tambahnya lagi, Islam telah mendahului teknologi dengan mencatatkan bahawa proses menuntut ilmu boleh dilaksanakan sama ada secara bersemuka atau mendengar ilmu sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW yang diriwayatkan oleh Imam Baihaqi

Maksudnya : “ Jadilah engkau orang yang berilmu (pandai) atau orang yang belajar (pelajar) atau orang yang mendengarkan ilmu atau orang yang mencintai ilmu. Dan janganlah engkau menjadi orang yang kelima, maka engkau akan celaka.” (H.R. Baihaqi).

“Oleh itu, proses pembelajaran secara maya sejak pandemik Covid-19 mengajar manusia untuk terus berusaha mencari penyelesaian belajar menggunakan ilmu teknologi kurniaan Allah.” ujarnya.

Selain itu, beliau turut mengajak ibu bapa agar sentiasa melazimi doa dalam setiap perkara serta memainkan peranan utama dalam mendidik dan mencorakkan peribadi anak-anak bagi melahirkan generasi yang berilmu, soleh dan berakhlak mulia.

Ustaz Ahmad Zawawi juga menyeru semua pihak untuk menyemak dan mengenalpasti apakah yang ingin dicapai dalam sistem pendidikan hari ini agar dapat melahirkan generasi yang mendapat ilmu yang bermanfaat.

Beliau menegaskan, proses melaksanakan pendidikan mestilah tidak menekan dan memberatkan sehingga menyebabkan stress dan keletihan termasuk kepada guru.