KUALA TERENGGANU – Hospital yang bukan sahaja menawarkan rawatan berkualiti, tetapi juga menepati prinsip syariah sepenuhnya, itulah sasaran utama Kumpulan Medic Iman Sdn Bhd (KMI Healthcare).
Sebagai sebahagian daripada kumpulan TDM Berhad, KMI kini dalam usaha menjadi hospital pertama di Malaysia yang benar-benar patuh syariah dalam semua aspek operasinya.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TDM Berhad, Najman Kamaruddin, menegaskan bahawa semua hospital di bawah rangkaian KMI telah mengamalkan prinsip syariah, namun mereka berusaha untuk mencapai tahap pematuhan yang lebih menyeluruh.
“Semua hospital KMI adalah hospital patuh syariah.
“Dan matlamat kami adalah untuk menjadi yang pertama di Malaysia yang benar-benar mematuhi prinsip syariah sepenuhnya dalam setiap aspek perkhidmatan kami,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perkongsian Dalam Keberkatan, di KMIKT baru-baru ini.
Turut bersama, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi, Pengurus Besar KMIKT, Salina Long.
Dalam pada itu menurut Najman, inisiatif hospital patuh syariah ini juga selaras dengan misi TDM untuk menjadi model ‘corporate citizenship’ yang sejati.
“Kami percaya bahawa model perniagaan yang berpaksikan prinsip syariah bukan sahaja memberi manfaat kepada syarikat, tetapi juga kepada masyarakat secara keseluruhan,” ujarnya lagi.
Sementara itu, KMI dan TDM Berhad sebelum ni telah menzahirkan keprihatinan terhadap masyarakat dengan menyantuni 150 asnaf melalui program agihan zakat di Hospital KMI Kuala Terengganu.
Inisiatif ini menjadi sebahagian daripada usaha berterusan untuk memastikan golongan yang kurang berkemampuan turut menikmati hasil kejayaan syarikat, sekaligus memperkukuhkan nilai berkongsi rezeki dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan.