Home Berita PAS Terengganu

KMI Kuantan sedia tawarkan rawatan untuk pesakit kanser mulai Januari depan

22
SHARE

KUALA TERENGGANU – Kumpulan Medic Iman Sdn Bhd (KMI Healthcare) melalui anak syarikatnya KMI Kuantan Medical Centre (KMI Kuantan) terus mengembangkan sayap perniagaannya dengan menawarkan rawatan bagi pesakit kanser (Onkologi) bermula Januari tahun hadapan.

Pengerusi KMI Kuantan, Dato’ Satiful Bahari Mamat dalam satu kenyataan yang dikeluarkan KMI Kuantan berkata, rawatan kemoterapi adalah salah satu rawatan yang boleh diberikan mulai tahun depan, diikuti dengan rawatan radioterapi dan perubatan nuklear.

“Selain itu, mulai pertengahan tahun depan juga, KMI Kuantan akan memulakan projek bangunan baharu untuk menampung operasi bangunan sedia ada.

“Sebanyak 80 bilik persendirian, 30 klinik tambahan, dan tiga pusat kecemerlangan perubatan meliputi jantung, mata, dan tulang dijangka siap menjelang 2028 yang akan menjadi mercu tanda baharu di Kuantan,” ujarnya dalam kenyataan tersebut sempena Majlis Penyerahan Zakat dan Sambutan Sedekad KMI Kuantan di Indera Mahkota, baru-baru ini.

Sementara itu, mengulas mengenai penyerahan zakat oleh KMI Kuantan, Satiful yang juga Pengerusi Jawatankuasa pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan Negeri Terengganu berkata, hampir RM800,000 sumbangan zakat diserahkan kepada Pusat Kutipan Zakat Pahang dan Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) bagi tahun kewangan 2023.

Katanya, dana tersebut bagi menyokong pelbagai inisiatif amal dan program di bawah seliaan PKZ Pahang dan MAIDAM, khususnya dalam membantu komuniti yang kurang berkemampuan serta meningkatkan kesejahteraan masyarakat setempat.

“Kepentingan zakat bukan sahaja sebagai salah satu rukun Islam tetapi juga sebagai alat untuk memupuk keharmonian sosial dan peranan KMI Healthcare adalah memastikan dana ini sampai kepada mereka yang paling memerlukannya,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, sejak penubuhannya pada tahun 1997, KMI Kuantan telah menunjukkan kejayaan yang konsisten, dibuktikan dengan peningkatan hasil yang didorong oleh pertambahan jumlah pesakit dalam, kadar penghunian katil yang tinggi, dan peningkatan purata hasil pesakit dalam.

“Pada September lalu, KMI Kuantan telah diberi penghormatan sebagai salah satu Syarikat Berprestasi Terbaik dan Syarikat Paling Berpotensi dalam Program Pengarah Korporat Terengganu Inc.

“Dengan kekuatan 30 orang perunding tetap yang terdiri daripada pelbagai disiplin perubatan serta 10 perunding lawatan, KMI Kuantan kini menjadi lebih agresif dalam mengembangkan keupayaannya untuk menyediakan perkhidmatan kesihatan yang lebih menyeluruh kepada pesakit,” jelasnya.