Home Berita PAS Terengganu

KMI Healthcare bina hospital swasta keenam

417
SHARE

KUALA TERENGGANU, 25 Oktober – Kumpulan Medic Iman Sdn Bhd (“KMI Healthcare”) berjaya menambah rangkaian hospital swasta keenam yang bakal dibina di Kampung Jaya, Chukai, Kemaman pada pertengahan tahun depan.

Lima hospital pakar komuniti sebelum ini adalah Kelana Jaya Medical Centre di Petaling Jaya, Selangor; KMI Kuantan Medical Centre Kuantan, Pahang; KMI Kuala Terengganu Medical Centre, Kuala Terengganu; KMI Taman Desa Medical Centre di Kuala Lumpur dan KMI Tawau Medical Centre di Tawau, Sabah.

Pengerusi KMI Healthcare, Raja Dato’ Idris Raja Kamarudin berkata, pembinaan hospital swasta pertama di Kemaman itu membabitkan peruntukan RM100 juta dan dijangka mengambil tempoh masa tiga tahun untuk siap sepenuhnya.

Katanya, ia bakal dilengkapi kemudahan 100 katil dan berkemampuan meningkat kepada 200 katil pada masa akan datang.

“Istimewanya hanya satu katil untuk satu bilik dengan kadar harga yang ditawarkan sangat berpatutan bermula RM150 semalam.

“Perkhidmatan yang bakal ditawarkan adalah Ortopedik, Telinga, Hidung dan Tekak (ENT), Pakar Obstetrik & Ginekologi (O&G), Pakar Pediatrik, Pakar Bedah dan juga Pakar Perubatan yang telah sedia ada. Mungkin lebih banyak klinik pakar akan diperkenalkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara KMI Chukai Medical Centre Sdn Bhd (KMI Chukai) dan Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Majlis berkenaan disaksikan Menteri Besar, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan Dato’ Idris.

Menurutnya, apabila siap kelak dijangkakan seramai 50 hingga 60 kakitangan bakal bertugas terdiri daripada jururawat, pegawai perubatan dan pakar perubatan.

“Melihat kepercayaan orang ramai terhadap perkhidmatan KMI Healthcare, pihak kami akan terus mengorak langkah dengan membina tiga lagi hospital dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Pembinaan itu bertempat di Kota Bharu, Kelantan, dijangka dibina 2024;  Temerloh, Pahang pada 2025 dan  satu lagi di Pulau Pinang,” katanya.