Home Berita PAS Johor

KM Bakri bantu mangsa banjir Selangor

307
SHARE

Oleh : AMMAR FIRDAUS

BAKRI, 30 Disember : Khidmat Malaysia (KM) Kawasan Bakri dan Jabatan Amal Malaysia (JAM) Bakri turut sama terlibat membantu menyumbang tenaga dalam operasi pembersihan pasca banjir di Selangor baru-baru ini.

Menurut Ketua Operasi, Mohamad Sukri Basir untuk operasi siri pertama pada 22 Disember yang lepas beliau bersama dua orang anggota JAM Bakri telah diberi tugasan awal untuk membersihkan rumah di sekitar Sri Muda dan Padang Jawa yang terkesan akibat banjir.

Dalam siri kedua operasi, dua orang anggota JAM Bakri telah melakukan pembersihan di Markaz PAS Labohan Dagang sekitar kawasan Dengkil bermula dari jam sembilan pagi hingga tiga petang.

Dalam masa yang sama, Bendahari Dewan Pemuda PAS Kawasan Bakri, Muhamad Fitri Abdul Manawi turut sama mengambil bahagian dalam program ‘Menghidupkan Motosikal Mangsa Banjir’ di kawasan Hulu Langat yang dianjurkan pihak ARC Malaysia.

Pada siri operasi kali ketiga 27 hingga 28 Disember, JAM Bakri yang diketuai oleh Mohd Ali Abas bersama tujuh orang anggota hadir dengan membawa sumbangan berupa kit Hygiene dan keperluan harian untuk para mangsa banjir.

“Setelah lapor diri di Bilik Operasi Sepang, kami telah membersihkan sebuah rumah di Kampung Labohan Dagang bermula dua petang sehingga enam petang.

“Pada hari berikutnya JAM Bakri bersama KM Negeri Johor telah membantu JAM Negeri Selangor dan JAM Negeri Kedah dalam operasi penyambungan paip ke perkampungan Orang Asli Kampung Paya Lebar, Hulu Langat, Selangor” kata Mohd Ali.