Home Berita PAS Terengganu

KKYT sasar 90 peratus kebolehpasaran graduan tahun ini

14
SHARE

KUALA TERENGGANU – Kolej Kemahiran Yayasan Terengganu (KKYT) meletakkan sasaran 90 peratus kebolehpasaran graduannya untuk tahun ini, berbanding pencapaian sekitar 80 peratus pada tahun lepas.

Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah KKYT, Dr Wan Mansor Wan Mahmood berkata, pihaknya telah menyediakan pelbagai inisiatif dan program kepada mahasiswa bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dalam bidang pekerjaan.

“Bagi memberi nilai tambah kepada graduan, kita menggalakkan mereka mengikuti kursus-kursus tertentu seperti kursus bahasa, teknologi dan maklumat serta lain-lain yang sesuai semasa mereka mengikuti pengajian di sini.

“Ini kerana, ketika di kolej tidak cukup dengan hanya menumpukan kepada pengajian dalam kelas, tetapi mereka mesti juga mempersiapkan diri dengan kemahiran lain supaya akan ‘laku’ apabila memasuki pasaran kerja,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Konvokesyen KKYT Kali Ke-7 yang dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan Negeri, Dato’ Satiful Bahari Mamat di Duyong Marina Resort, di sini, semalam.

Sementara itu, Wan Mansor berkata, KKYT dijangka menawarkan program kulinari selewatnya akhir tahun ini sebagai inisiatif melahirkan lebih ramai graduan berkemahiran dalam bidang berkenaan.

“Tahun ini akan ada kursus baru, kita cuba bekerjasama dengan mana-mana institut kemahiran yang berminat dan sekarang di peringkat perbincangan,” ujarnya.

Menurut beliau, ketika ini KKYT menawarkan program bagi Diploma Pentadbiran Sistem Komputer dan Diploma Pentadbiran Sistem Maklumat.

“Serta Sijil Operasi Sistem Komputer dan Sijil Pentadbiran Pejabat,” katanya.