Home Berita PAS Pahang

KKM Indera Mahkota lancar program kesedaran kesihatan

49
SHARE

Oleh : HABSAH ALI

INDERA MAHKOTA, 27 Jun :: Wanita memainkan peranan penting dalam pembangunan keluarga menjadi penyokong utama suami dalam memimpin keluarga ke arah kesejahteraan hidup seterusnya membentuk sebuah masyarakat yang sejahtera dan progresif.

Sejajar dengan itu, Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Cawangan Indera Mahkota telah mengadakan Program Kesedaran dan Kesihatan Wanita bagi memberi pendedahan kepada masyarakat tentang kepentingan menjaga kesihatan diri terutama kepada kaum wanita.

Ketua Dewan Muslimat PAS Indera Mahkota (DMPIM) Salwani Saleh, telah hadir sebagai jemputan bagi majlis perasmian program tersebut.

Beliau sangat berbesar hati DMPIM telah dijemput bersama-sama di dalam program ini, yang merupakan langkah pertama bagi menjalinkan hubungan yang lebih bermakna pada masa akan datang.

“Kita boleh bersama-sama berganding bahu dalam memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai kepentingan penjagaan kesihatan.

“Program ini sangat baik kerana dapat menyampaikan mesej-mesej mengenai cara hidup sihat. Semoga dapat terus dihayati dan dipraktis oleh masyarakat,” kata Salwani.

Program yang dirasmikan oleh Pakar Kesihatan Keluarga, Dr G Suriya Devi Gurunathan turut diisi dengan ceramah kesihatan mengenai Kanser Serviks yang disampaikan oleh Dr Noor Hidayah Mohd Norbi.

Beliau mendedahkan bahawa kanser serviks merupakan kanser ketiga tertinggi menyerang wanita, justeru amat penting bagi wanita meningkatkan penjagaan kesihatan keluarga untuk memastikan kelangsungan pendidikan kesihatan dalam ahli keluarga dan masyarakat.

Pelbagai aktiviti diadakan dalam program ini selain dari ceramah dan ujian pap smear, seperti saringan kesihatan untuk suami dan kanak-kanak bawah umur 5 tahun, pemeriksaan payudara, pertandingan mewarna untuk kanak-kanak berusia 6 hingga 8 tahun, booth pameran untuk dilawati pengunjung dan cabutan bertuah bagi yang hadir.

Program Kesedaran Kesihatan Wanita ini telah diadakan di lobi Klinik Indera Mahkota, Kuantan bermula dari 8.00 pagi hingga 12.00 tengahari kelmarin.