Home Berita PAS Perak

K’jaan PN komited bersama denyut nadi rakyat

78
SHARE

Oleh: Danisya Ismail

TAMBUN: Keprihatinan kerajaan Perikatan Nasional (PN) menjaga kebajikan rakyat merupakan sesuatu yang dibanggakan di saat negara dilanda pelbagai krisis antaranya pandemik Covid-19.

Kenyataan itu dijelaskan Pengerusi Pertubuhan Prihatin Rakyat Kinta, Ustaz Hafez Sabri ketika mengedarkan sumbangan Bakul Prihatin Negara kepada penduduk di Manjoi, baru-baru ini.

Katanya, seluruh masyarakat dapat melihat kesungguhan dan keprihatinan kerajaan itu menerusi pelbagai pakej rangsangan ekonomi dan Belanjawan 2021.

“Hari ini, saya telah menyampaikan sumbangan Bakul Prihatin Negara kepada beberapa penduduk di Manjoi. Rata-ratanya mengadu kepada saya tentang kehilangan pekerjaan dan terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Ramai rakyat Malaysia sedang susah dan bergelut dengan desakan ekonomi sekarang. Alhamdulillah dengan bantuan Bakul Prihatin Negara ini, sedikit sebanyak dapat meringankan beban mereka,” katanya.

Terdahulu, Ustaz Hafez telah menyampaikan bantuan barang basah dan barang dapur kepada 150 penduduk Gugusan Manjoi di mana penyerahan dibuat secara pandu lalu.

Program tersebut merupakan kerjasama Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) antaranya Berkat Manjoi, Guru Agama Dakwah Ipoh, CEO Al-Ghina dan Ahli Majlis Bandaraya Ipoh.