Home Berita PAS Pulau Pinang

Kita terpaksa masak nasi tambahan

289
SHARE

TASEK GELUGOR, 9 MEI – Lebih 10,000 pengunjung meraikan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Negeri Pulau Pinang di padang awam bersebelahan Masjid Jamek Ar-Rahmani Kampung Banggol dekat sini, semalam.

Pesuruhjaya PAS negeri, Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff berkata, majlis yang dijadualkan berlangsung jam 11.00 pagi sehingga 3.00 petang dimulakan lebih awal selepas orang awam sudah beratur seawal jam 10 pagi.

“Sambutan luar jangkaan kita. Kita sasarkan sekitar 4,000 lebih pengunjung tetapi jumlah itu jauh daripada jangkaan awal kita.

“Makanan pun dah banyak habis. Kita terpaksa masak nasi tambahan. Kita masak lagi laksa, dah habis kita masak lagi, kemudian kita tempah lagi air dan sebagainya,” katanya yang ditemui Harakahdaily.

Bahkan, katanya menu istimewa Nasi Daging Tasek Gelugor yang cukup sinonim di daerah itu menjadi tumpuan pengunjung apabila pihaknya terpaksa memasak sejumlah 120 kilogram beras khusus untuk tetamu yang hadir.

Jelas Fauzi, dua ekor lembu ditumbangkan untuk melengkapi menu nasi daging malah lauk tambahan terpaksa disediakan dan dimasak lagi untuk meraikan tetamu yang berpusu-pusu memenuhi pekarangan program sejak bermula sehingga penghujung majlis.

“Buah-buahan pun kita terpaksa tempah lagi sebab dah banyak habis, saya pun tidak pasti berapa kotak yang ditambah. Kita tambah air. Sate masih lagi ada. Tiap-tiap menu semuanya sudah habis.

“Kita nampak, sambutan kepada rumah terbuka ini cukup memberangsangkan, dan kedatangan rakan parti kita daripada Bersatu, Gerakan, parti Bersama Malaysia (MU) juga sampai dan masyarakat di sekitar ini jugalah tanpa mengira latar belakang politik turut hadir ke majlis ini,” katanya.

Setiausaha PAS negeri, Iszuree Ibrahim berkata, 13 menu disediakan untuk meraikan pengunjung.

“Kita ada Nasi Daging Tasek Gelugor, laksa, mihun sup, sate, kuih raya, rojak buah dan macam-macam lagi, semua itu untuk tetamu kita,” ujarnya.

Katanya, pengunjung yang hadir pada sambutan Rumah Terbuka PAS negeri tahun ini lebih ramai berbanding tahun lalu yang cuma dihadiri seramai 4,000 tetamu.

“Kalau nak ikut hari ini punya atur cara kita menyediakan juadah untuk lebih kurang 4,000 pengunjung. Pukul 12.30 banyak makanan dah habis.

“Sedangkan tahun sudah, kita menyediakan untuk lebih 4,000 pengunjung juga, tapi makanan banyak tak habis. Sebab itu kita pun tidak mahu letak lebih (makanan).

“Tapi tahun ini di sini, kita tidak jangka, makanan habis awal, tahun sudah kita meleret sampai jam 4 petang, tiga periuk nasi tak habis, tahun ini terpaksa ‘cover’ dengan nasi tambahan,” jelasnya.

Menurutnya, sambutan luar biasa pengunjung itu menandakan ‘gelombang hijau’ sedang melanda di negeri ini.

Ini, ujarnya sekali gus menyangkal dakwaan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, Dr P Ramasamy pada 16 April lalu menyatakan gelombang hijau semakin hilang pengaruh.

“Ramasamy ini, kita tahu latar belakang dia. Dia nak kondem kita ini dengan keadaan dan kaedah ‘diskredit’ kita ini, bukan barulah, kita telah ‘didiskredit’ dari zaman Umno-BN.

“Apa dia nak kata kita abaikanlah,” katanya.

Yang Dipertua PAS Kawasan Tasek Gelugor, Mohd Sobri Salleh pula berkata sambutan luar biasa pengunjung sebagai kebangkitan gelombang hijau.

“Kali ini mungkin ada gelombang (hijau) kot. Ada kaitan dengan gelombang, sebab itu sangat ramai hadirin yang datang,” ujarnya.

Beliau berharap momentum sokongan rakyat kepada gelombang hijau berterusan sehingga Pilihan Raya Negeri tidak lama lagi.

“Kita nampak angin perubahan itu ada. Sudah cukup alhamdulillah. Selalunya orang kata biasalah raya memang orang datang sebab nak makan.

“Tapi ini pun menunjukkan satu sokongan rakyat terhadap apa yang sedang dibuat oleh PAS negeri dan kawasan ini. Kita nampak dah ada angin perubahan,” katanya yang juga Pengerusi Perikatan Nasional Tasek Gelugor.