Home Artikel PAS Selangor

Kita Saling Memerlukan – Selangor PAS Youth (SPY) Corner | Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor

256
SHARE

Oleh : Zurk Ahmad

Seorang lelaki mengeluh perihal isterinya diruangan maya.

“Perempuan memang tak pandai jaga kereta. Semua perlukan bantuan lelaki. Hanya tahu hidupkan enjin dan jalan. Tau bawak je. Minyak hitam kemana, angin tayar tak dihirau.”

Maka ramailah kaum penyokong dan pembangkang masuk, tambah minyak ke api. Tidak ketinggalan juga, datang gerombolan wanita yang komen. Antaranya:
“Laki aku tu lagilah. Apapun tak tau buat kat rumah tu. Masak tak reti. Sidai baju tak tahu. Lipat lagi la. Tukar lampin anak jauh sekali. Semua aku kena buat”

Maka berpusu-pusu la masuk. Geng suami lawan geng isteri. Sama-sama mempertahan kumpulan mereka. Sama-sama menyerang kumpulan lawan. Maraklah apinya.

Situasi semakin tidak keruan. Panjang berjela ruangan komen.

Kemudian masuklah seorang lelaki yang juga seorang suami. Dia mengaku memang tak pandai buat kerja rumah. Dan isterinya juga tidak berapa arif hal kereta. Tapi isterinya banyak mengajar perihal kerja rumah. Diapun sentiasa memberi nasihat dan panduan kepada isteri berkenaan tips dan cara menjaga kereta. Mereka berkongsi ilmu dan pengalaman. Akhirnya dia pandai membantu isteri melakukan kerja rumah. Dan isterinya sudah pandai menjaga kereta.

Mereka bahagia!

Sekadar analogi cerita mudah.

Hidup ini mudah. Tidak tahu, bertanya. Tidak pandai, belajar. Yang ada pengalaman, berkongsi. Yang berilmu, mengajar. Kita saling memerlukan. Kita saling melengkapi. Baru harmoni.

Tukang gunting yang mahir pun tidak mampu menggunting rambutnya sendiri!

Setiap yang hidup di muka bumi ini ada fitrah kehidupan masing-masing. Namun ianya tidak akan dapat hidup sekiranya bersendirian. Segala peraturan dan ketentuan Allah SWT itu sangat sempurna dan jika mahu kehidupan yang bahagia dan berterusan maka perlulah saling bergantung serta saling memerlukan antara satu sama lain.

Sehebat mana pun seseorang, pasti dia memerlukan jasa orang lain. Sehina mana pun seseorang, pasti dia sudah pernah berbudi kepada orang lain. Ertinya, setiap orang ada nilai dan harga dirinya disisi orang lain. Maka tidak patutlah timbul hina-menghina dan pecah-belah, kerana kita sebenarnya saling memerlukan.

“Semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah yang paling taqwa.” (Al-Hujurat:13)

Menyedari hakikat ini, marilah kita sama-sama merenung dan berfikir untuk mengubah sikap serta membaiki keadaan dengan masing-masing memulakan sikap menghormati orang lain sebagaimana mereka menghormati dan mengasihi diri sendiri.

Kita saling memerlukan!

Zurk Ahmad
Pengarah Pilihanraya
Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor
27 Oktober 2020 | 10 Rabiul Awal 1442H

Lajnah Penerangan & Media Baru
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor

#PASSelangor
#BersamaMembawaSejahtera
#IslamMemperkukuhPerpaduan
#MediaPASSelangor

#demiIslam
#beramalkeranaAllah
#KekalTenang
#islammengukuhperpaduan
#muafakatnasional
#youth4green
#PemudaPAS
#memimpinnegara