Home Berita PAS Pahang

Kita nak cari apa sebenarnya? – Majlis Khatam Tadarus al-Quran Kelas 3T

11
SHARE

Oleh : HABSAH ALI

Kuantan, 19 Dis 2024 – “Kita nak cari apa sebenarnya?” tanya Dato’ Ahmad Faizul Ghazali kepada para hadirin dalam Majlis Khatam Tadarus al-Quran Kelas 3T (talaki, tajuid dan tadabur) kali ke-4/2024 di Seberang Balok di sini kelmarin.

“Ibu-ibu hadir ke kelas al-Quran bukan semata-mata untuk pandai membaca, tetapi untuk mendapat redha Allah. Bila kita berkecimpung dengan al-Quran, kita perlu sedar matlamat utama adalah mendekatkan diri kepada-Nya.”

Begitulah antara kata-kata motivasi yang menggugah jiwa pelajar 3T mengingatkan betapa pentingnya al-Quran dalam kehidupan setiap muslim oleh Johan Qari Tilawah al-Quran Antarabangsa 2003, Ahmad Faizul Ghazali.

Beliau dengan penuh semangat menegaskan bahawa al-Quran adalah teman sejati yang bukan sahaja menjadi pendamping di dunia, tetapi juga penolong di akhirat.

Tambahnya, ia akan menemani seseorang dari dunia hingga ke liang lahad, menjadi sumber ketenangan di alam kubur, dan memberikan syafaat yang amat berharga di Padang Mahsyar kelak.

Ahmad Faizul juga mengingatkan bahawa keberkatan dan kejayaan hidup bergantung pada sejauh mana keyakinan seseorang terhadap al-Quran.

“Orang yang bersama dengan al-Quran akan diberkati, tenang, dan berjaya, baik di dunia mahupun akhirat. Mereka yang betul-betul mencintai al-Quran akan tergolong dalam keluarga Allah,” jelasnya lagi.

Beliau turut memberi galakan kepada pelajar Kelas 3T agar terus istiqamah dalam mempelajari al-Quran

“Jangan berhenti berusaha walaupun hasilnya lambat, niatkan semuanya untuk mendapat redha Allah, bukan semata-mata untuk hasil di dunia yang akan mengecewakan apabila ianya tidak tercapai,” katanya lagi.

Di penghujung ceramahnya, Dato’ Ahmad Faizul menyeru kepada muslimat untuk terus menyokong usaha Ustazah Hasnah Arshad iaitu guru pembimbing dalam memajukan Kelas 3T.

“Saya ucap tahniah kepada semua yang terlibat, terus istiqamah bersama al-Quran, dan moga kita semua tergolong dalam kalangan ahli al-Quran yang mulia di sisi Allah SWT,” katanya yang kemudiannya disambut terus dengan ucapan amiin daripada para hadirin.

Sebelum itu, Ahmad Faizul telah memperdengarkan bacaan ayat-ayat suci al-Quran yang merdu dan berteranum, sekaligus menyentuh hati para hadirin.

Beliau juga telah diwawancara oleh ahli jawatankuasa program mengenai pengalaman bermakna beliau dari langkah pertama dalam dunia al-Quran sehingga kejayaan gemilang di pentas tilawah peringkat antarabangsa seterusnya menerima gelaran Dato’, satu penghormatan yang mencerminkan sumbangan beliau dalam memartabatkan al-Quran di peringkat nasional dan global.

Majlis yang dihadiri seramai 70 peserta ini terdiri daripada para muslimat Masjid Balok Makmur (Selasa dan Khamis), Surau Al-Furqan PSJ, Surau TBJ2, Surau Tengah Balok, Surau Ar-Rahman dan Surau Batas Sungai Karang Pantai.

Turut hadir adalah Pengerusi Masjid Balok Makmur Roslan Awang, Pengerusi Surau Al-Furqan PSJ Mohamad Ghauth Razali, Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Indera Mahkota Salwani Salleh dan Pembimbing Bacaan Majlis Khatam, Ustazah Norzilah Hussain

Majlis ini diakhiri dengan doa kesyukuran dan jamuan mesra, melambangkan keberkatan ilmu dan ukhwah yang terjalin melalui usaha memartabatkan al-Quran dalam kehidupan umat Islam.