KOTA BHARU: PAS mahu perbincangan parti-parti politik berkaitan isu dakwaan dana milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) disalur ke akaun peribadi Datuk Seri Najib Razak, boleh memberi manfaat kepada rakyat.
Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata apa yang baik akan disokong begitu juga sebaliknya.
“Kita lihat apa yang akan dibincang nanti, kita tidak mahu ia boleh menyusahkan rakyat, tidak mahu rakyat menjadi beban.
“Pembaharuan yang dilakukan biarlah yang betul,” katanya selepas menyampaikan ceramah sempena sambutan Nuzul al Quran di Madinah Ramadan malam tadi.
Hadir sama Menteri Besar Kelantan, Ustaz Datuk Ahmad Yakob, anggota Exco, Datuk Abdul Fattah Mahmood, anggota parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam, Zamri Ismail.
Pada sebelah petang Presiden mengadakan perjumpaan dengan pemimpin PAS dari seluruh Kelantan di Putik yang berakhir dengan iftar.
Kelmarin Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menjemput ahli Parlimen pelbagai parti politik dan badan bukan kerajaan (NGO) menyertai mesyuarat membincangkan dakwaan Wall Street Journal (WSJ) terhadap Perdana Menteri.
Menurutnya mesyuarat tergempar yang akan diadakan di Parlimen bagi menilai tahap keyakinan orang ramai terhadap Najib.
Tuan Guru Abdul Hadi juga berkata, mana-mana pihak bebas untuk menubuh parti baru di negara ini selaras dengan semangat demokrasi.
Bagaimanapun, katanya beliau percaya anak yang merajuk akan kembali semula kepada bapanya selepas keadaan reda.