Home Berita PAS Terengganu

‘Kita harap Azizulhasni mampu hadiahkan emas sulung’- Hishamuddin

105
SHARE

KUALA NERUS – Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri, Hishamuddin Abdul Karim berharap agar jaguh berbasikal trek negara, Dato’ Azizulhasni Awang berupaya menghadiahkan emas sulung buat negara di Sukan Olimpik Paris 2024.

Katanya, kejayaan atlet yang berasal dari Dungun Terengganu itu sudah tentu akan bermakna bagi mengharumkan nama Malaysia di persada sukan antarabangsa itu.

Kata beliau, selain Datuk Azizulhasni Awang seorang lagi pemain yang turut diharapkan beliau untuk menghadiahkan pingat buat negara ialah Nur Aisyah Muhammad Zubir yang merupakan atlet berasal dari Kemaman.

“Atlet (Terengganu) kita ke Sukan Olimpik ada dua orang ini yang semuanya merupakan atlet berbasikal dan kita harapkan kedua-duanya mampu untuk menyumbang pingat kepada Malaysia.

“Dato’ Azizulhasni Awang kita harapkan beliau mampu memberikan emas sulung bagi pasukan negara kita, insya-Allah,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas merasmikan Program ‘Fit Is Sunnah 2024’ di Perkarangan Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak, di sini, semalam.

Untuk rekod, Dato’ Azizulhasni akan membuat penampilan kelimanya di Olimpik Paris. dengan sebelum ini dia telah berjaya memenangi pingat gangsa di Olimpik London 2012 sebelum meraih perak di Olimpik Tokyo 2020.

Manakala, Nur Aisyah dalam usia 27 tahun melakar sejarah tersendiri apabila menjadi pelumba pertama negara yang layak ke Sukan Olimpik Paris 2024 dalam acara berbasikal lebuh raya wanita yang akan turun beraksi secara berseorangan mewakili Malaysia.