BATU, 26 Mei – Sebuah program kebajikan anjuran Ameerah Kawasan Batu telah berjaya dilaksanakan bersama golongan asnaf di kawasan parlimen tersebut pada hari ini.
Program yang diberi nama ‘Sumbangan Kit Seronoknya Ramadhan’ itu melibatkan sebuah rumah anak yatim di Taman Pelangi iaitu Rumah Anak Yatim Raudhatul Jannah serta 11 buah rumah golongan asnaf di Flat Batu Muda, Kg. Batu Muda.
Program kebajikan ini bertujuan untuk memberi sumbangan kepada golongan asnaf yang terdiri daripada anak-anak yatim, golongan warga emas dan ibu – ibu tunggal.
Usaha murni Ameerah Kawasan Batu itu telah menyentuh hati para penerima sumbangan.
“Mak cik dapat bantuan baitulmal tapi perlu ambil di sana. Sekarang mak cik sudah tidak larat berjalan, susah nak pergi ambil. Terima kasih sebab hantar barang ke rumah,” ujar seorang ibu tunggal warga emas sambil menitiskan air mata terharu.
Para penerima sumbangan berasa sangat tersentuh dan berterima kasih atas keprihatinan muslimat muda PAS serta berharap agar program sebegini diteruskan lagi pada masa akan datang.