SAHABAT DI SISI RASULULLAH
(SIRI 29)
UMAR BIN AL-KHATTAB
Pelopor Sunnah Tajdid
Beliau juga dari kalangan bangsawan Quraisy, tetapi tidak begitu hartawan. Terkenal dengan keberanian dan kekuatannya. Juga terkenal dengan kebijaksanaan berdiplomasi. Beliau menjadi duta Quraisy untuk berunding dengan mana-mana kabilah jika berlaku sesuatu krisis.
Beliau bukanlah orang terawal memeluk Islam. Sejak mendapat tahu Rasulullah SAW menyebarkan agama Islam, beliau sangat marah dan menjadi penentang utama. Tetapi Rasulullah SAW amat mengharapkan orang yang bijak, berpengaruh dan kuat seperti beliau bersama Islam. Baginda berdoa:
“Ya Allah. Bantulah agama Islam dengan salah seorang dari dua Umar..” Yang dimaksudkan adalah samada Umar al-Khattab, atau Amru bin Hisyam (Abu Jahal).
Kemarahan Umar terhadap Islam memuncak apabila mendapat tahu berita bapa saudaranya, Abu Jahal dipukul oleh Hamzah bin Abdul Muttalib bapa saudara Nabi. Umar tekad untuk membunuh Nabi SAW.
Dalam perjalanan ke rumah Nabi, beliau berjumpa dengan seorang bernama Nuaim. Nuaim memberitahu bahawa lebih baik beliau uruskan dulu adik iparnya Said bin Zaid dan adik perempuannya Fatimah binti al-Khattab. Kedua mereka telah memeluk Islam.
Umar mengubah haluan. Tidak jadi ke rumah Nabi sebaliknya menuju ke rumah adiknya. Kebetulan beliau terdengar adiknya sedang mengaji al-Quran. Umar bertambah marah. Dipukul adiknya sehingga berdarah.
Namun kuasa tuhan, apabila adiknya memperdengarkan awal surah Taha kepadanya, hati beliau serta merta berubah. Itulah kali pertama beliau mendengar al-Quran. Beliau mula sedar itu bukan rekaan manusia. Hidayah mula terpancar di jiwanya.
Akhirnya beliau meminta dibawa bertemu Rasulullah. Baginda mulanya agak panik apabila Umar ke rumahnya, tetapi apabila Umar menyatakan mahu beriman, bagindalah antara yang paling gembira mendengarnya.
Saat melafazkan syahadah itu, keghairahan Umar untuk berjuang Islam sudah berkobar-kobar. Tika itu juga beliau bertanya Nabi SAW:
“Wahai Rasulullah. Bukankah kita berada di jalan yang benar?”
Baginda menjawab:
“Ya.”
“Kalau begitu kenapa kita perlu bersembunyi?” Soal Umar yang memang terkenal dengan berani.
Nabi SAW di awal dakwah memang menyembunyikan gerakannya. Tetapi setelah Umar dan Hamzah memeluk Islam, baginda mula merubah method dakwah. Soalan Umar terus membuatkan baginda memerintahkan orang Islam keluar ke Kaabah dalam dua saf. Satu saf diketuai Saidina Hamzah dan satu lagi Saidina Umar.
Mereka berarak ke Masjidil Haram, dan bersolat di hadapan Kaabah dengan penuh keizzahan. Orang-orang quraisy melihat sahaja penuh dendam, tetapi tidak berani berbuat apa.
Sejak hari itu, Umar digelar al-Faruq atas sikap beraninya menjelaskan kebenaran dan kebatilan. Sejak hari itu juga, saidina Umar menjadi orang yang sangat penting dalam perjuangan Islam. Bukan sahaja pada keberaniannya, tapi yang lebih penting adalah sentiasa memikirkan jalan terbaik untuk Islam. Beliau tidak segan untuk menyatakan pendapat kepada Rasulullah, walaupun pendapatnya sering bercanggah dengan baginda.
Apa yang menarik, seringkali apabila pendapat Umar bercanggah dengan Rasulullah, tuhan turunkan wahyu menyokong saidina Umar dan menegur kesilapan baginda. Antaranya dalam isu menguruskan tawanan Perang Badar. Saidina Umar mencadangkan supaya mereka dibunuh, tetapi Nabi bersetuju dengan pandangan Abu Bakar yang mahu melepaskan tawanan dengan tebusan.
Setelah tawanan dilepaskan, Allah menurunkan ayat:
Tidaklah patut bagi seseorang Nabi mempunyai orang-orang tawanan sehingga mereka dibunuh di muka bumi. Kamu menghendaki habuan benda dunia , sedang Allah menghendaki akhirat. Dan Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”
[Al-Anfal:67]
Satu lagi kisah adalah ketika ketua munafik, Abdullah bin Ubai mati. Anaknya iaitu Abdullah bin Abdullah meminta pakaian Nabi untuk mengafankan bapanya. Abdullah turut meminta Nabi menyembahyangkan bapanya.
Baginda menuruti kemahuan si anak itu. Tetapi sebaik sahaja Umar mendapat tahu, beliau terus merampas pakaian Nabi dari Abdullah, dan melarang baginda bersolat. Baginda berdebat menyatakan hujahnya dengan ayat 80 surah at-Taubah. Tetapi selepas itu, turun ayat Allah yang baharu berfirman:
Dan janganlah engkau sembahyangkan seorang pun yang mati dari orang-orang munafik itu selama-lamanya, dan janganlah engkau berada di (tepi) kuburnya, kerana sesungguhnya mereka telah kufur kepada Allah dan RasulNya, dan mereka mati sedang mereka dalam keadaan fasik (derhaka).
[At-Tawbah:84]
Walaupun Umar sering bercanggah dengan Rasulullah, tetapi baginda tidaklah mencantas saidina Umar. Sebaliknya menjadikan beliau salah seorang penasihat utama. Baginda bersabda:
“Jika aku telah berbincang dengan Abu Bakar dan Umar, aku tidak akan tanya orang lain lagi.”
Penghormatan baginda SAW terhadap Umar sangat tinggi sehingga baginda bersabda:
“Kalaulah ada Nabi selepasku, nescaya orangnya adalah Umar.”
Saidina Umar adalah khalifah kedua selepas Abu Bakar. Di zaman beliau, banyak bidaah (baca: pembaharuan) dilakukan oleh Saidina Umar yang berbeza dari zaman Nabi. Antaranya mengadakan solat tarawih berjemaah. Antaranya lagi menetapkan taqwim hijri, menetapkan tahap gaji mengikut jawatan dan mengadakan muktamar tahunan pada musim haji. Sebagaimana peranan Umar telah banyak mempengaruhi syariat di zaman Nabi, pembaharuan beliau juga telah banyak menentukan halatuju dakwah dan perjuangan Islam hingga ke hari ini.
Ternyata Saidina Umar adalah watak penting dalam perjuangan Islam. Sikap yang perlu dicontohi adalah peranan beliau sebagai orang kanan Nabi SAW. Beliau tidak menjadi tukang angguk yang mengiyakan sahaja setiap tindakan pemimpin. Beliau juga bukan pengampu yang kerjanya memuji sahaja baik atau buruk. Sebaliknya beliau berani berbeza pendapat dan memperbetulkan apa yang difikirkan salah.
Umar seorang yang outspoken dan vokal. Mungkin sesetengah pemimpin hari ini tidak suka pengikut sebegini. Tetapi Nabi SAW menunjukkan sikap pemimpin yang sebenar bukan begitu. Asalkan ia dilakukan dalam disiplin berjemaah yang betul.
Umar juga menunjukkan satu tauladan baik, iaitu sunnah tajdid. Beliau seolah mahu mengajar bahawa adat dan budaya bukanlah wajib untuk berkekalan. Sesuatu yang mungkin dulu baik, sekarang sudah perlu diubah. Jangan terikat dengan adat dan budaya. Sentiasa memikirkan yang terbaik mengikut peredaran zaman dan keadaan.
29 Ramadhan 1438
24 Jun 2017
(Alang Ibn Shukrimun)
{jathumbnail off}