Home Pedoman Haraki

Kisah Sahabat – Saad Bin Muaz

18164
SHARE

SAHABAT DI SISI RASULULLAH
(SIRI 19)

Saad bin Muaz
 Menggoncang Arasy Allah 

Beliau adalah pembesar Aus, satu kabilah berpengaruh di Madinah. Beliau memeluk Islam ditangan Mus’ab bin Umayr, sebelum Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah lagi. Pada ketika itu, usianya masih dalam kategori pemuda.

Keislaman pemuda dan pembesar seperti Saad menjadi punca kepada keislaman kabilah Aus besar-besaran. Rumahnya telah dijadikan markas utama dakwah. Dari situ Islam pantas berkembang, sehingga pada setiap rumah di Madinah pasti ada sekurang-kurangnya seorang memeluk Islam dalam tempoh yang singkat.

Peranan Saad bukan hanya dalam mengembangkan dakwah Islam, bahkan menjadi penyebab kepada kemaraan Islam dalam perang Badr. Hal ini ketika Rasulullah mendapat tahu bahawa musyrikin Quraisy sedang menuju ke Badar bersama bala tentera, baginda mengadakan mesyuarat dan bertanyakan adakah wajar bagi mereka berperang di Badar atau tidak.

Rasulullah memang berniat mahu terus berperang, namun baginda tidak mahu membuat keputusan sendirian. Sebelum ini mereka belum pernah berperang bersama. Bilangan mereka juga masih sedikit, lebih kurang 300 orang sahaja.

Tiba-tiba Saad bangun berkata kepada Rasulullah SAW:
“Wahai Rasulullah! Sesungguhnya kami telah beriman kepadamu dan membenarkanmu..
Kami sudah memberi sumpah untuk dengar dan patuh..
Maka teruslah mara mengikut kehendakmu wahai Rasulullah..!
Demi Allah, sekiranya di depan kita ini adalah lautan, nescaya kami sanggup merentasnya bersamamu..!”

Rasulullah SAW merasa sangat gembira dengan ucapan tersebut. Beliau telah menyerahkan panji Ansar kepada Saad, sementara Muhajirin diserahkan kepada Saidina Ali.

Saad sekali lagi memainkan peranan dalam perang Khandaq. Ketika itu umat Islam begitu terseksa akibat dikepung terlalu lama di dalam kota Madinah. Rasulullah SAW yang tidak sampai hati melihat keadaan itu pergi berunding dengan Bani Ghatafan. Baginda menjanjikan satu pertiga kurma Madinah kepada mereka, dengan syarat mereka berundur dari medan perang.

Ketika Saad mendapat tahu tindakan Nabi SAW itu, beliau terus mengadap baginda dan berkata:
“Wahai Rasulullah. Jika keputusan ini memang keinginanmu, maka kami akan tunaikan. Jika ini perintah Allah, maka kami dengar dan taati. Tapi adakah keputusan ini kau buat kerana kasihankan kami?”

Jawab Rasulullah:
“Sebenarnya aku lakukan ini kerana kasihankan kalian semua..”

Lalu Saad berkata:
“Wahai Rasulullah..
Demi Allah, ketika kami dahulu syirik menyembah berhala, kami tak pernah beri mereka walau satu biji pun, melainkan mereka beli atau menjadi tetamu di sini..
Adakah wajar ketika Allah memuliakan kami dengan Islam, kami berikan harta-harta kami kepada mereka?

Tidak Demi Allah! Kita tak perlu berikan apa-apa kepada mereka selain pedang! Biarlah Allah yang memutuskan diantara kita dan mereka. Sesungguhnya Dialah sebaik-baik pemutus.”

Sekali lagi Rasulullah SAW bergembira dengan ucapan Saad. Baginda pun membatalkan hasratnya. Akhirnya pertolongan Allah tiba, tentera Ahzab lari lintang pukang dan kemenangan milik Islam.

Walaubagaimanapun, dalam pertemuran itu Saad telah cedera terkena panah musuh. Kecederaannya begitu parah menyebabkan beliau sangat tenat, hingga tidak dapat diselamatkan lagi.

Sewaktu ajalnya hampir tiba, Rasulullah SAW mendatanginya. Baginda meletakkan kepala Saad di pangkuan dan menyelimutkan badannya dengan kain putih.

Sambil memandang wajah Saad dengan penuh sedih dan kasihan, baginda bersabda:
“Ya Allah. Sesungguhnya Saad telah berjuang di jalanMu..
Dan membenarkan RasulMu..
Dia telah menepati janjinya..
Maka Kau terimalah Rohnya sebaik-baik penerimaan..”

Hati Saad menjadi tenang walau sedang menghadapi Sakaratul Maut. Beliau membuka matanya seraya berkata:
“Assalamualaikum Ya Rasulullah. Aku bersaksi bahawa engkau pesuruh Allah..”

Nabi SAW membalas:
“Berbahagialah dikau wahai Abu Amr!”

Saat itu juga, maka berakhirlah nafas Saad dalam dakapan kekasihnya. Rasulullah SAW menjadi saksi kesyahidan pemuda unggul itu. Terbanglah rohnya tenang menuju Sang Pencipta.

Baginda SAW memberitakan kepada para sahabat:
“Sungguh, kematian Saad telah menyebabkan bergoncangnya Arash Allah”

Peranan pemuda seperti Saad cukup signifikan untuk dijadikan tauladan. Beliau menunjukkan makna wala’ (kesetiaan) yang sebenar terhadap agama Allah.

Wala’ bukan bererti taat semata-mata. Wala’ adalah dengar, patuh, kasih, membantu, mempertahan dan memberi apa sahaja kepada Islam walau tanpa diminta. Saad sentiasa berfikir yang terbaik untuk Islam.

Wala’ Saad mendorong beliau untuk bangkit berucap atas nama Ansar. Tanpa apa-apa jawatan atau kepentingan, beliau mengambil inisiatif yang sangat wajar. Sememangnya pejuang Islam perlu berinisiatif dalam disiplin yang dibenarkan.

Wala’ Saad tidak menjadikan beliau ikut sahaja tanpa bantahan. Bahkan beliau berani bersuara, melontar pendapat berbeza kepada Rasulullah demi kemaslahatan Islam menurut pandangannya.

Inilah budaya yang perlu dihidupkan di semua peringkat, supaya Islam terus maju kehadapan. Semoga roh Saad meresap dalam diri pejuang-pejuang Islam yang ikhlas.

19 Ramadhan 1438
14 Jun 2017

(Alang Ibn Shukrimun)

{jathumbnail off}