Home Pedoman Haraki

Kisah Sahabat – Jaafar Bin Abi Talib

6930
SHARE

 

SEDUTAN KISAH SAHABAT (SIRI 2)

JAAFAR BIN ABI TALIB
Pemilik Dua Sayap


 

Jaafar bin Abi Talib adalah saudara kepada Ali bin Abi Talib dan sepupu kepada baginda Rasulullah SAW. Beliau seorang yang amat dikasihi baginda. Ketika mengutuskan sahabat ke Habsyah, Rasulullah memerintahkan Jaafar untuk mengepalai delegasi tersebut.

Jaafar bersama orang Islam lain tinggal di Habsyah lebuh kurang 10 tahun. Pada tahun ke 7 hijrah, baru beliau berangkat meninggalkan Habsyah menuju ke Madinah. Pada waktu beliau sampai, umat Islam baru sahaja memenangi perang Khaibar ke atas orang Yahudi. Melihat kelibat sepupunya yang sudah 10 tahun berpisah itu, Rasulullah segera mendakap Jaafar dan mencium di antara kedua matanya. Baginda sangat teruja lalu bersabda:
“Aku tak tahu apakah yang lebih menggembirakan sekarang. Adakah pembukaan kota Khaibar atau ketibaan Jaafar..”

Namun Jaafar ditakdirkan tidak lama di Madinah. Pada tahun kelapan Hijrah, baginda mengutuskan satu pasukan ke Mu’tah. Baginda menugaskan Zaid bin Harithah sebagai panglima dan berpesan, jika syahid Zaid maka Jaafar perlu menggantikan dan jika Jaafar syahid maka Abdullah bin Rawahah.

Benar sebagaimana disabda. Zaid bin Harithah menemui syahid di sana. Panji yang dipegang segera disambut Jaafar dan terus meluru ke tengah kawanan musuh. Beliau bertarung sehingga putus tangan kanan yang memegang panji dicantas oleh tentera Rom. Panji itu segera disambut
panji dengan tangan kiri. Tetapi tangan kirinya juga telah dipotong selepas itu. Namun beliau tetap mempertahankan panji Islam itu dengan bahu dan tunggul tangan yang masih berbaki, sehingga beliau gugur syahid di tangan musuh.

Ringkas cerita, ketiga-tiga sahabat yang disebutkan baginda semuanya menemui shahid. Baginda sangat bersedih ketika menerima wahyu akan berita tersebut. Baginda pergi ke setiap rumah keluarga ketiga sahabat itu untuk menyampaikan berita kesyahidan mereka.

Sampai di rumah Jaafar, baginda SAW mendapati isteri beliau Asmaa binti Umais sedang melakukan persiapan untuk menyambut kepulangan suaminya. Adunan roti telah siap diuli. Anak-anak telah siap dimandikan, diwangikan dipakaikan pakaian indah.

Asmaa melihat wajah baginda sugul kesedihan tetapi tidak tergamak untuk bertanya. Baginda memanggil kesemua anak-anak mereka. Anak-anak itu dengan girang berlari datang ke arah baginda lalu kesemuanya didakap dan dipeluk seeratnya. Baginda cium setiap satu anak-anak kecil itu dalam linangan air mata yang mencurah-curah.

Asmaa tidak dapat bertahan lagi. Beliau terus bertanya.
“Demi ayah dan ibuku Ya Rasulullah. Kenapakah kamu menangis? Adakah apa-apa berita tentang Jaafar dan kedua saudaranya itu?”

Sabda baginda:
“Ya… kesemua mereka telah syahid..”

Tatkala itu hilang segala senyuman dari wajah anak-anak kecil tersebut, melihat ibunya menangis teresak-esak. Mereka semua kaku tidak mengerti.

Rasulullah SAW segera menyapu airmata dan berdoa:
“Ya Allah. Peliharakanlah anak-anak Jaafar..”
“Ya Allah. Peliharakanlah keluarga Jaafar..”

Kemudian baginda bersabda kepada mereka
“Aku telah melihat Jaafar kini bersama malaikat di Syurga, dikurniakan dua pasang sayap yang masih dibasahi dengan darah..”

Bergembiralah wahai keluarga Jaafar. Orang tersayang kalian sudah dijamin Rasulullah sebagai ahli Syurga sedang kalian masih di muka dunia. Bergembiralah dengan syafaat syuhada.

Bergembiralah jua buat semua kita yang kehilangan orang tersayang di medan juang. Pasti mereka juga kini sedang berada di syurga, menantikan giliran kita untuk mengurnia syafaat yang diizinkan tuhan.

Usah bersedih dengan perpisahan sementara ini. Jika orang kita sayang itu meninggal dalam perjuangan, pasti beliau kini bersama Jaafar. Dan kita, insyaAllah akan mendapat kemuliaan sebagaimana yang di disabdakan Nabi SAW:

“Seseorang itu (akan dihimpunkan di akhirat) bersama orang yang dikasihi.”

2 Ramadhan 1438
28 Mei 2017

(Alang Ibn Shukrimun)

{jathumbnail off}