Home Pedoman Haraki

Kisah Sahabat – Fairuz Ad-Dailami

2115
SHARE

SAHABAT DI SISI RASULULLAH
(SIRI 15)

FAIRUZ AD-DAILAMI

 Bangsawan Perwira 

Beliau adalah seorang sahabat dari kerabat diraja Yaman. Berketurunan Parsi di sebelah bapa manakala ibunya pula berketurunan arab Yaman. Dahulu, Yaman berada di bawah taklukan Parsi dan Rajanya bernama Baazan. Ketika Islam sampai, Baazan telah memeluk Islam dan menukar wala` kerajaan Yaman kepada Islam. Setelah meninggal, diganti oleh anaknya Shahr bin Baazan.

Ketika baginda Nabi SAW jatuh sakit setelah pulang dari mengerjakan Haji tahun ke-9 hijrah, berita itu telah tersebar di semua pelusuk tanah arab. Maka tiga orang telah memainkan peranan memurtadkan umat Islam di masa itu iaitu Musailamah al-Kazzab, Aswad al-Unasi dan Tulaihah al-Asadi. Bukan setakat ini, malah mereka mendakwa diri sebagai Nabi, menerima wahyu sebagaimana Muhammad SAW.

Aswad al-Unasi tinggal di Yaman. Beliau adalah seorang ahli sihir. Menggunakan kepakaran sihir, beliau mampu memperdaya ramai orang sehingga mempercayai beliau sememangnya seorang Nabi. Beliau juga petah berhujah dan pandai bermain kata, menyebabkan beliau mampu membina gerakan menentang kerajaan Islam dengan cepat. Aswad berupaya membunuh gabenor Islam Yaman, Shahr bin Baazan lalu mengahwini isterinya bernama Aazad.

Nabi SAW menyedari gerakan ini amatlah bahaya kepada kelangsungan Islam. Beliau terus mengutuskan surat kepada wakil kerajaan Islam di sana supaya mengambil apa jua langkah agar gerakan Aswad segera dihapuskan.

Surat itu sampai kepada sebilangan sahabat, antaranya ialah Fairuz ad-Dailami. Beliau tanpa berlengah terus merancang untuk melaksanakan perintah baginda SAW. Mereka yang berada di dalam Yaman merancang serangan dari dalam sementara sahabat lain menangani dari luar.

Setelah berbincang, beliau pergi ke istana Aswad dan berjumpa dengan isterinya, Aazad yang juga sepupu kepada Fairuz. Fairuz menyatakan kepada Aazad rancangan untuk membunuh Aswad dan meminta bantuan serta pandangan Aazad. Aazad segera bersetuju kerana beliau sememangnya membenci Syaitan sejak mula-mula beliau mengenali Aswad lagi.

Aazad memberi cadangan:
“Dia memiliki pengawal yang sangat ramai. Semua sudut dalam istana ini diletakkan pengawal, kecuali di bilik ini sahaja.

Esok kamu hantarkan seorang lelaki menyamar sebagai khadam kepada aku. Aku akan suruh dia korek lubang daripada bilikku ini sehingga tinggal sedikit lagi untuk tembus ke luar istana. Pada lewat malam esok, kau datang dan korek sedikit sahaja lagi dan kau akan jumpa pelita dan senjata. Aku pula akan menunggu kamu di dalam. Masuklah dan bunuhlah dia ketika dia sedang tidur.”

Fairuz terus bersetuju dengan cadangan yang bernas dari Aazad itu. Sebagaimana yang dirancang, pada lewat malam beliau bersama dua lagi sahabat pergi ke dinding istana dan mengorek tempat yang dimaksudkan. Kemudian mereka mengambil senjata dan masuk ke bilik, menerpa terus ke katil Aswad, dan Fairuz menetak leher nabi palsu itu. Aswad yang sedang tidur hanya mampu meronta dan berteriak seperti suara lembu, sebelum nyawanya melayang.

Ketika itu para pengawal mendengar teriakan Aswad. Mereka terus bergegas ke bilik. Tetapi Aazad dengan bijak berkata:
“Pergi! Jangan ganggu dia. Wahyu sedang turun kepadanya sekarang.”

Fairuz dan Aazad terus berada di bilik itu sehingga terbit Fajar Subuh. Apabila masuk waktu Subuh, beliau naik ke tembok istana dan melauangkan:
“Allahu akbar.. Allahuakbar”

Beliau mengumandangkan azan sehingga sampai pada lafaz:

(Aku bersaksi tiada tuhan yang disembah melainkan Allah,
Dan aku bersaksi bahawa Muhammad itu Rasulullah,
Dan aku bersaksi bahawa Aswad al-Unasi itu penipu besar..!)

Sebenarnya lafaz itu adalah satu kod rahsia. Sebaik sahaja lafaz itu dilaungkan, tentera Islam masuk ke istana Aswad dari setiap arah. Pengawalnya pula kebingungan tatkala mendengar azan dilaungkan.

Maka bertempurlah dua pihak ini. Ketika itu, Fairuz mencampakkan kepala Aswad daripada atas tembok ke hadapan pengawalnya. Sejurus melihat kepala itu, hilang kekuatan pengawalnya. Mereka jadi takut dan lemah serta-merta.

Adapun orang Islam terus melaungkan takbir dan tambah semangat bertempur. Akhirnya pertempuran itu selesai sebelum terbit matahari. Musuh menyerah kalah.

Apabila hari sudah cerah, mereka segera mengutus surat memberitahu berita gembira itu kepada Nabi SAW. Namun apabila utusan mereka sampai di Madinah, didapati baginda SAW telah dipanggil mengadap Ilahi.

Walau bagaimanapun, Rasulullah sempat mengetahui berita gembira tersebut melalui wahyu pada malam Aswad dibunuh. Baginda SAW bersabda kepada para sahabat ada bersamanya ketika itu:
“Aswad al-Unasi telah berjaya dibunuh.. Dia dibunuh oleh seorang lelaki yang diberkati, dari keluarga yang diberkati..”

Para sahabat bertanya, siapakah beliau. Nabi SAW menjawab:
“Beliau adalah Fairuz.. Fairuz telah berjaya..”

Kisah ini memberi penekanan bahawa kepentingan kepada umat Islam bagi menghadapi ancaman pengkhianat. Nabi SAW tidak membiarkan sahaja pengkhianat Islam bermaharajalela dan bebas berbuat apa. Bahkan baginda segera bertindak memerintahkan sahabat untuk menghapuskan mereka dengan apa jua cara.

Ini kerana jika dibiarkan, mereka akan merosakkan anggota kita satu persatu. Dalam masa yang sekejap, Aswad berjaya menghimpun beribu orang pengikut daripada berbagai kabilah yang asalnya penganut agama Islam. Penghapusan aswad menyebabkan semua mereka kembali ke pangkal jalan.

Fairuz dipuji oleh Nabi SAW kerana mengambil sikap yang tegas dan tangkas sebaik menerima isyarat dari Rasulullah. Beliau tidak risaukan soal keselamatan diri, apatah lagi memikirkan bahawa Aswad adalah sebahagian dari saudaranya. Beliau tidak peduli siapa Aswad, tidak langsung malu alah dengannya, kerana memelihara Islam dan perjuangannya adalah lebih penting dari segala-galanya.

15 Ramadhan 1438
10 Jun 2017

(Alang Ibn Shukrimun)

{jathumbnail off}