Home Pedoman Haraki

KIsah Sahabat – Anas Bin An-Nadhr

3854
SHARE

SAHABAT DI SISI RASULULLAH
(SIRI 20)

ANAS BIN AN-NADHR
 Syurga Di Kaki Uhud 

Beliau adalah seorang Ansar. Daripada keturunan an-Najjar. Saudaranya adalah Malik, bapa kepada Anas bin Malik yang terkenal sebagai khadam kesayangan Rasulullah SAW.

Walaupun Islam seawal peristiwa hijrah, Anas bin an-Nadhr tidak ikut serta dalam perang Badar. Setelah tentera Islam berangkat ke medan perang, barulah dirinya menyesal. Beliau menyalahkan dirinya dengan bermonolog:
“Celakalah dirimu wahai Anas! Pada peperangan pertama kau dah tak bersama Rasulullah?! Adakah kau yakin umur ini panjang untuk bersama peperangan seterusnya? Masih adakah perang yang lebih besar ganjarannya daripada Badar?”

Dalam kekesalan, Anas berikrar:
“Demi Allah! Jika ada lagi peluang bersama Rasulullah menghadapi musyrikin selepas ini, akan aku buktikan kepada Allah apa yang akan aku lakukan..”

Tidak lama selepas itu, tibalah pula seruan Uhud. Anas tidak melepaskan peluang lagi. Beliau mara bersama Rasulullah dan para sahabat ke medan Uhud, membuktikan apa yang dijanjikan.

Berbeza dengan Badar, perang ini menyajikan ujian besar buat kaum muslimin. Kesilapan barisan pemanah mengakibatkan musuh pantas mengatur serangan balas dari belakang. Kaum musyrikin berjaya naik ke bukit Rummah, tempat pasukan pemanah diposisikan. Mereka memecahkan benteng pertahanan tentera Islam, lalu menerobos hingga ke pos utama tempat Rasulullah SAW berada.

Umat Islam yang berada di bawah sangat terkejut apabila melihat situasi ini. Apa yang paling mereka risaukan adalah keselamatan Rasulullah SAW. Tentera musuh begitu ramai di atas, dan tentera Islam di bawah tidak berdaya mendaki kembali kerana bukit Rummah sudah ditawan musyrikin.

Rasulullah SAW memang sasaran utama musyrikin. Baginda SAW dibaling batu, jatuh ke lubang, cedera mukanya, luka di bibirnya, patah giginya, dan darah mengalir bercucuran.

Para sahabat cuba mempertahankan baginda. Dibentuk satu bulatan, diletakkan baginda nabi SAW di tengah dan mereka menadah belakang tubuh bagi menyelamatkan Rasulullah.

Pada waktu ini juga, dengan pantas tersebar berita bahawa Rasulullah SAW telah pun syahid. Keadaan menyebabkan umat Islam hilang semangat, dan sebahagian mula menyerah kalah. Mereka berpusing lari dari medan perang, kerana menganggap tiada apa lagi yang perlu diperjuangkan.

Anas bin Nadhr memerhatikan keadaan ini dengan seribu kesesalan. Beliau sedih dengan sikap orang Islam. Teriak beliau:
“Kalau Rasulullah telah mati, apa guna lagi kita bertahan untuk hidup.”

Beliau pergi mendapatkan Saidina Umar.
“Bagaimanakah keadaan Rasulullah?”

Jawap Saidina Umar:
“Aku tidak nampak apa, selain merasakan dia telah mati.”

Mendengar jawapan Umar, Anas membalas:
“Kalau Muhammad telah mati, maka sesungguhnya Allah Maha Hidup, tidak sekali-kali mati.”

Beliau terus mengeluarkan pedang dari sarung, dan mematahkan sarung tersebut tanda tidak akan menyimpannya lagi. Lalu beliau terus meluru ke arah musuh, maju tanpa berundur, berani tanpa gerun.

Sedang beliau meluru, ternampak Saad bin Muaz berdekatan dengannya. Dia berteriak pada Saad:
“Syurga wahai Saad! Syurga!”

“Demi tuhan an-Nadhr, sungguh aku mencium bau syurga di kaki bukit Uhud!” Anas meninggalkan kata-kata terakhir kepada Saad dan terus berlalu ke depan. Kelibat Anas hilang dalam kawanan tentera musuh Saad cuba mengekori, namun tidak termampu.

Apabila perang berakhir, didapati Anas telah gugur syahid di kaki bukit Uhud. Badannya terdapat lebih dari 80 kesan libasan pedang, tusukan panah dan tikaman tombak. Jasadnya juga amat mengerikan, disiat-siat, dipotong anggota dan dikorek sana dan sini. Awalnya tiada siapa mengenali jasad tersebut, hinggalah ia disahkan oleh saudaranya Ummu Harithah, yang mengenali jari-jari Anas yang masih tinggal.

Allah muliakan Anas bin an-Nadhr. Kematiannya menyebabkan diturunkan satu ayat, yang akan terus dibaca sehingga hari kiamat:

Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah; Maka di antara mereka ada yang telah selesai menunaikan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan ada di antara mereka yang masih menunggu giliran. Mereka tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun.
[Al-Ahzab:23]

Anas bin an-Nadhr mengajar umat niat sebenar perjuangan Islam. Bukan kerana manusia, bukan kerana pemimpin tetapi hanya kerana Allah. Manusia akan pergi bila-bila masa sahaja, sedangkan Allah sentiasa Ada setiap masa. Tidak ada manusia yang dijamin istiqamah selagi belum menghembuskan nafas terakhir, sedang Allah akan tetap bersama agamaNya.

Berjuanglah kerana Allah, bukan kerana manusia.

20 Ramadhan 1438
15 Jun 2017

(Alang Ibn Shukrimun)

{jathumbnail off}