Home Pedoman Haraki

Kisah Sahabat – Ali Bin Abi Talib

31641
SHARE

SAHABAT DI SISI RASULULLAH
(SIRI 27)

ALI BIN ABI TALIB
Persis Nabi Harun 

Beliau lahir 10 tahun sebelum Nabi SAW dibangkitkan. Daripada kecil, beliau dibesarkan di rumah Nabi SAW. Ini kerana pada suatu tempoh, Mekah dilanda kemarau dahsyat dan Abu Talib memiliki ramai anak. Jadi Rasulullah SAW mengambil salah seorang anaknya iaitu Ali untuk dipelihara.

Saidina Ali menjadi orang ketiga memeluk Islam. Juga merupakan kanak-kanak pertama berbuat demikian.

Seorang yang sangat berani dan juga kuat. Ketika orang-orang musyrikin merancang untuk membunuh Nabi SAW, baginda berhijrah ke Madinah. Namun dalam masa yang sama, baginda meminta Saidina Ali untuk terus berada di Mekah, supaya dapat memulangkan semua barang-barang yang diamanahkan oleh penduduk Mekah kepada baginda untuk dijaga.

Saat paling genting adalah apabila saidina Ali diarahkan tidur di katil Nabi SAW menggantikan dirinya. Waktu itu memang diketahui di luar sana terdapat pembunuh-pembunuh upahan menunggu masa untuk menyerang baginda. Tetapi Ali sanggup mengambil risiko kemungkinan dirinya dibunuh di katil tersebut jika pembunuh menyangka itu adalah baginda SAW.

Ringkasnya, Ali tidak dibunuh kerana pembunuh tersebut sempat melihat dahulu siapa sebenarnya di atas katil. Beliaupun menjalankan amanah Rasulullah SAW.

Selesai tugasnya, beliau segera berhijrah ke Madinah. Beliau sempat dengan majlis mempersaudarakan antara Muhajirin dan Ansar. Namun beliau bersedih, kerana dirinya tidak dipersaudarakan oleh Nabi SAW dengan sesiapapun.

“Wahai Rasulullah. Kau saudarakan semua sahabatmu. Tapi aku tidak kau saudarakan seperti mereka.” Ujar Ali kesal.

Lantas baginda menjawab dengan jawapan yang sangat menggembirakan:
“Engkaulah saudaraku dunia dan akhirat!”

Rasulullah SAW mengahwinkan Saidina Ali dengan anak kesayangannya Saidatina Fatimah az-Zahrah. Perkahwinan itu adalah wahyu dari Allah, sebagaimana Nabi SAW bersabda:
“Allah memerintahkan aku mengahwinkan Fatimah dengan Ali.”

Maqam Saidina Ali sangat tinggi di sisi Rasulullah SAW. Baginda banyak bersabda memuji beliau. Antaranya sabda:
“Tidak ada orang yang kasih kepada saidina Ali, melainkan mereka orang beriman. Dan tidak ada orang membenci Saidina Ali, melainkan mereka orang munafik.”

Rasulullah SAW juga bersabda:
“Barangsiapa mentaati Ali maka dia mentaatiku. Barangsiapa mengingkari Ali maka dia mengingkariku.”

Ketika perang Khaibar dilancarkan, terdapat satu kubu yang tidak berjaya ditembusi orang Islam walaupun telah berhari-hari mereka mengepungnya. Sudah ramai yang mati dalam cubaan menembusinya. Sehinggalah pada suatu hari Rasulullah SAW bersabda:
“Esok aku akan berikan panji memimpin perang Khaibar ini kepada seorang lelaki yang bakal Allah bukakan kubu itu ditangannya. Beliau amat mengasihi Allah dan Allah amat mengasihi beliau.”

Awal pagi esok, para sahabat sudah berkumpul dan menunggu saat Rasulullah SAW memberikan panji. Masing-masing teringin kalau panji itu diberi pada mereka. Saidina Umar sengaja memanjangkan tengkuknya supaya dilihat oleh Rasulullah.

Namun Rasulullah SAW tidak memilih orang yang ada di situ. Sebaliknya beliau olah mencari-cari kelibat seseorang dari kalangan sahabat yang sedang berkumpul itu.

Akhirnya baginda bertanya:
“Mana Ali?”

“Di khemah rawatan. Beliau cedera di mata terkena panah.” Jawab para sahabat. Lalu Rasulullah meminta didatangkan juga Ali ke situ.

Setelah Ali dibawa, Baginda meludah ke matanya, lalu dengan izin Allah sembuh serta merta matanya seolah tidak pernah kena apa-apa. Lalu baginda memberikan panji kepada saidina Ali. Akhirnya Khaibar berjaya dibuka oleh sahabat agung ini.

Saidina Ali adalah pahlawan yang sangat hebat. Musuh-musuh ditumpaskan dalam tempoh yang amat singkat. Setiap kali perang, beliau akan berhadapan dengan ramai musuh sekaligus.

Saidina Ali menyertai semua peperangan bersama Rasulullah SAW, kecuali perang Tabuk. Ini kerana baginda SAW menugaskan beliau menggantikan dirinya memimpin Madinah sepanjang kempen ke Tabuk. Saidina Ali pada mulanya bersedih tidak dapat ikut bersama, tetapi Rasulullah SAW pandai menenangkan sepupunya itu dengan bersabda:
“Tidakkah engkau suka menjadi seperti Nabi Harun di sisi Nabi Musa?”

Saidina Ali memiliki kebijaksanaan bagai seorang Nabi. Kata-katanya banyak diriwayatkan sehingga ramai tertukar dengan hadis Nabi SAW. Selepas baginda SAW wafat, saidina Ali menjadi pembantu setia kepada semua khalifah sebelumnya. Saidina Umar berkata:
“Kalaulah Ali tiada maka binasalah Umar.”

Dalam satu hadis, saidina Ali bertanya Nabi SAW siapakah yang dimaksudkan dengan golongan Khairul Bariah (sebaik-baik makhluk) dalam ayat 7 surah al-Bayyinah. Lalu baginda menjawab:
“Kamulah wahai Ali dan syiahmu.”

Syiah bererti pendokong. Berdasarkan hadis ini, pendokong saidina Ali menggelarkan diri mereka sebagai syiah. Tetapi kini sebahagian besar pengikut syiah telah menjadi sesat, setelah mereka hidup terpencil jauh dari pusat ilmu sejak dinasti Umawi mengambil takhta khilafah.

Antara kesilapan orang Islam termasuk pendokong gerakan sendiri adalah tidak mengiktiraf saidina Ali, bahkan menganggap saidina Ali bersalah hanya kerana beliau dikaitkan dengan syiah. Sedangkan beliau sendiri dipuji dan istimewa di sisi Rasulullah SAW. Saidina Ali tidak ada kaitan dengan kesesatan sebahagian syiah.

Isu pertembungan antara syiah dan sunni juga perlu diuruskan dengan baik. Kini pertembungan tersebut sengaja dijadikan alat oleh musuh Islam untuk melaga-lagakan umat Islam, berperang sesama sendiri sehingga lupa musuh sebenar yang dinyatakan di dalam al-Quran. Para ulama silam telah menunjukkan bagaimana mereka berinteraksi dengan perbezaan aliran dan kumpulam dalam Islam, termasuklah golongan-golongan yang menyimpang dari ajaran sebenar. Semua ini perlu dijadikan iktibar.

27 Ramadhan 1438
22 Jun 2017

 

{jathumbnail off}