Home Pedoman Haraki

Kisah Sahabat – Abdullah Bin Salam

7154
SHARE

SAHABAT DI SISI RASULULLAH
(SIRI 18)

ABDULLAH BIN SALAM
 Yahudi Ahli Syurga 

Nama sebenarnya ialah Hushain bin Salam. Berasal dari keturunan Yahudi yang tinggal di Madinah. Beliau adalah ulama kalangan Yahudi. Apabila beliau memeluk Islam, baginda Nabi SAW menukarkan namanya kepada Abdullah bin Salam.

Abdullah memeluk Islam bersama isteri dan anak-anaknya. Namun beliau merahsiakan keislamannya daripada kaumnya kerana mahu merancang satu pembongkaran sikap pembohong kaum Yahudi. Abdullah berpakat dengan Rasulullah SAW, supaya baginda memanggil pembesar Yahudi ke rumahnya dan berdakwah kepada mereka, sementara Abdullah bersembunyi di dalam.

ana dirancang, yahudi datang ke rumah Nabi. Di sana baginda berdakwah memperkenalkan Islam terhadap mereka.

Seperti yang dijangka, mereka menyangkal dakwah Nabi dengan berbagai hujahan menipu dan menyeleweng dari fakta sebenar, terutama tentang kandungan kitab dan ajaran sebenar mereka.

Akhirnya Rasulullah SAW bertanya:
“Apa pandangan kamu tentang Hushain bin Salam? “

Jawab mereka:
“Dia adalah pemimpin kami, dan anak pemimpin. Dia juga adalah Ulama dan cendikiawan kami, dan anak ulama dan cendikiawan.”

“Apa pendapatmu jika dia memeluk Islam?” Soal baginda.

“Mustahil! Tidak mungkin dia akan peluk Islam!” Tegas mereka.

Maka ketika itu keluarlah Abdullah dari persembunyian, lalu berkata:
“Wahai sekalian Yahudi! Percayalah bahawa Muhammad adalah sebenar-benar Nabi. Berimanlah kepada beliau, kerana ia telah termaktub dalam kitab yang ada pada kamu, Taurat dan juga Injil. Sesungguhnya aku beriman kepada Allah dan beliau.”

Tidak semena-mena, Yahudi itu terus berkata:
“Tidak! Kamu bohong! Kamu adalah penjahat, dan anak penjahat. Kamu juga adalah orang jahil, anak kepada orang jahil.”

Abdullah berkata kepada Nabi:
“Bukankah telah aku nyatakan, mereka sebenarnya kaum yang batil dan penipu?”

Sejak keislamannya, beliau senantiasa mendampingi Nabi SAW. Beliau membaca al-Quran pada setiap ketika. Kekuatan beliau berpegang kepada Islam sehingga ada yang berkata:
“Sesiapa mahu melihat ahli syurga maka lihatlah Abu Salamah.”

Memang benar. Nabi SAW sendiri yang mengakuinya. Satu malam Abu Salamah bermimpi. Lalu dia mencerita mimpi tersebut kepada Rasulullah SAW:

“Bahawa datang seorang lelaki kepadaku dan berkata: “Bangun.” Lalu lelaki itu memimpin tanganku. Tiba di persimpangan, aku mahu melalui jalan kiri yang samar-samar, tetapi lelaki itu berkata: “Jangan. Itu bukan jalamu.” Kemudian aku lihat jalan kanan yang sangat jelas. Lelaki itu berkata: “Laluilah jalan ini.”

Lalu aku melalui jalan itu dan mendapati di sana terdapat taman yang indah menghijau dan luas terbentang. Di tengahnya terdapat tiang besi. Pangkalnya di tanah dan puncaknya di langit. Lelaki itu berkata: “Naiklah.”

Akhirnya aku naik hingga ke puncak, dan mendapati terdapat satu bulatan emas di sana. Aku terus mencapai bulatan itu dan bergantung padanya. Aku terus berpegang padanya m sehingga aku terjaga.

Baginda SAW mengulas:
“Kiri itu adalah jalan ahli neraka. Kanan pula adalah jalan ahli syurga.

Taman itu merupakan Islam.

Tiang tersebut adalah tiang agama

Manakala bulatan tersebut, adalah kalimah La Ilaha Illa Llah..

Dan kamu akan terus berpegang kepada kalimah tersebut, sehinggalah kamu mati..”

Kisah ini memberitahu kita bahawa bukan semua Yahudi adalah jahat. Terdapat kalangan mereka yang Allah beri hidayah lalu mengikut ajaran Islam, dan boleh jadi Islam mereka lebih teguh daripada kita.

Dari sudut pandang berbeza, kisah ini turut mendedahkan perangai sebenar kaum Yahudi kebanyakan. Tidak hairanlah kisah tentang Yahudi atau Bani Israel adalah kisah yang paling banyak di dalam al-Quran. Menurut Syed Qutb, hikmah penceritaan Yahudi yang banyak di dalam al-Quran adalah supaya kita kenal, bahawa merekalah musuh sebenar kita zaman-berzaman selain iblis.

Yang kita sangka musuh pula sebenarnya hanyalah rekaan Yahudi sahaja. Mereka memang pakar dalam mencetuskan propaganda hingga kita mengikut tipudaya mereka, sebagaimana kisah-kisah yang disebutkan al-Quran. Mereka buat, tapi mereka kambinghitamkan orang lain.

Malang bagi dunia Islam hari ini apabila menganggap musuh paling bahaya adalah kalangan umat Islam dan ahli kiblat sendiri. Sanggup bercumbuan dengan Yahudi, dan membeli senjata berbilion USD semata-mata mahu memerangi sesama Islam. Sedangkan musuh sebenar yang menjajah al-Quds sekian lama langsung tidak disentuh.

18 Ramadhan 1438
13 Jun 2017

(Alang Ibn Shukrimun)

{jathumbnail off}