Home Pedoman Haraki

Kisah Sahabat – Abbad Bin Bisyr

3467
SHARE


SAHABAT DI SISI RASULULLAH

(SIRI 17)

ABBAD BIN BISYR
 Membayar al-Quran dengan Darah 

Sejak pertama kali cahaya hidayah Islam memancar sinar di ruang bumi Madinah, hati sahabat bernama Abbad bin Bisyr sudah terpana dengan keindahannya. Walaupun umurnya ketika itu belum mencapai 25 tahun, tetapi beliau sudah memiliki kematangan yang tinggi serta keperibadian yang unggul.

Tatkala pertama kali mendengar alunan wahyu dari lidah Mus`ab bin Umayr yang ditugaskan memimpin gerakan dakwah pertama di Madinah, hatinya terus jatuh cinta dengan al-Quran. Beliau terus memeluk Islam dan sejak itu, beliau tidak pernah berpisah dengan al-Quran. Siang dan malamnya sentiasa bersama al-Quran, membaca dan terus mengulang-ulangnya. Al-Quran menjadi kekasih awal dan akhirnya, teman hadir dan ghaibnya, sehingga para sahabat menggelarnya ‘al-Imam’, juga ‘sahabat al-Quran’.

Pernah satu malam ketika Rasulullah SAW sedang bertahajjud di bilik Aisyah, baginda terdengar satu suara mengalunkan ayat suci al-Quran daripada masjid. Maka baginda bersabda:
“Adakah itu suara Abbad bin Bisyr?”

Jawab Aisyah, Ya. Lalu baginda SAW berdoa:
“Ya Allah, ampunilah dia.”

Abbad menyertai semua peperangan bersama Rasulullah SAW. Di setiap perang itu, beliau menunjukkan contoh yang sangat layak bagi dirinya sebagai seorang ahli Quran.

Antaranya dalam peristiwa perang Zatt Raqa. Ketika orang Islam dalam perjalanan menuju ke medan perang, mereka telah berhenti di suatu tempat untuk bermalam. Rasulullah SAW bertanya kepada para sahabat:
“Siapakah yang ingin menjadi pengawal malam ini?”

Maka bangun Abbad bin Bisyr dan Ammar bin Yaasir berkata: “Kami Ya Rasulullah!”

Mereka berdua adalah saudara yang telah dipersaudarakan pasca hijrah tidak lama dahulu. Tanpa berlengah mereka pun pergi ke perbatasan. Mereka bersetuju supaya Abbad berkawal secara dahulu di separuh pertama malam, sementara Ammar tidur untuk berjaga di separuh masa kedua.

Pada malam itu Abbad mendapati malam itu sangat indah dan nyaman. Bintang-bintang, pohon-pohon dan batu-batu sedang bertasbih memuji Ilahi. Lalu hatinya mula terdetik merindui al-Quran.

Beliau bingkas menghadap kiblat lalu mengangkat takbir solat. Selepas al-Fatihah, beliau memilih untuk membaca surah al-Kahfi, menambah keasyikan malam indah itu dengan syahdu alunan wahyu.

Ketika sedang asyik menikmati solat dan tilawah, datang seorang lelaki dari pihak musuh untuk menyerang hendap. Apabila didapati Abbad sedang bersolat dan di belakangnya orang-orang Islam, maka beliau terus mengacukan anak panah ke arah Abbad, dan melepaskannya tepat ke badan Abbad.

Badan Abbad ditembusi panah itu. Namun beliau tidak berganjak dari solat. Beliau hanya mencabut anak panah dan membuangnya, dan meneruskan bacaan al-Quran. Darah mengalir laju membasahi tubuhnya, tetapi dirinya masih tegap berdiri menunaikan solat.

Tidak berpuashati, lelaki itu memanahnya sekali lagi, menembusi bahagian lain pada badan Abbad. Abbad sekali lagi mencabut tanpa langsung berhenti dari solat. Darah semakin banyak keluar, tetapi langsung tidak menghalang Abbad dari menyambung baki ayat-ayat al-Quran.

Lelaki itu memanah kali ketiga, dan Abbad masih bertindak balas seperti sebelumnya. Tidak lama selepas itu barulah beliau bergerak menghampiri Ammar dan mengejutkannya sambil berkata:
“Bangunlah. Luka-luka ini sudah membuat badanku semakin lemah.”

Ketika kedua mereka berpaling ke arah lelaki itu, dia terus melarikan diri. Ammar berpaling ke arah Abbad. Beliau dapati darah sedang laju mengalir dari tiga luka di Abbad. Ammar berkata:
“Subhanallah! Kenapa kau tidak mengejutkan aku sejak kali pertama dipanah lagi?”

Jawab Abbad:
“Pada waktu itu aku sedang membaca surah al-Kahfi. Aku tidak suka memutuskan bacaan itu sebelum habis satu surah. Demi Allah, kalau bukan kerana memikirkan amanah menjaga keselamatan yang ditugaskan oleh Rasulullah SAW, maka putus nyawaku lebih aku sukai daripada putus bacaanku.”

Abbad menunjukkan bagaimana peranan yang perlu dimainkan oleh ahli al-Quran yang sebenarnya. Qari, Hafiz, guru tajwid mahupun sesiapa sahaja yang berkhidmat kepada al-Quran, sepatutnya menjadikan al-Quran itu lebih tinggi nilainya daripada hidup mereka. Menggunakan seluruh nikmat yang tuhan berikan untuk menunaikan hak al-Quran daripada bertilawah, menghafaz, mentadabbur dan mentafsir, beramal, menyebar sehinggalah mempertahankan al-Quran. Bukan pula menjadikan al-Quran sebagai alat untuk meraih nikmat-nikmat dunia yang sementara, kecuali sedikit demi kelangsungan hidup supaya tidak sibuk dengan kerja lain sehingga terpaksa meninggalkan al-Quran.

Abbad juga seperti sahabat lain, tidak memberi alasan kononnya khidmat beliau kepada al-Quran membataskan diri dari tanggungjawab jihad. Bahkan beliau sentiasa terkehadapan dan berlumba-lumba untuk menyahut seruan perjuangan Islam. Al-Quran menjadi pemangkin semangatnya untuk mempertahankan Islam, bukan menjadi alasan untuk mengelak dari medan juang.

Para pejuang Islam juga perlu mengambil tauladan, bahawa keberadaan diri mereka dalam saf perjuangan tidak bermakna sudah memadai dari mendampingi al-Quran. Perlu ada ruang dalam hidup seharian mereka, didedikasikan khusus untuk bersama al-Quran. Tiada kemuliaan bagi mana-mana hamba, jika mereka tidak menjadikan al-Quran sebahagian dari hidup mereka.

Sempena nuzul Quran, jadikanlah Abbad sebagai ikon kita. Juga sahabat-sahabat lain yang terkenal sebagai ahli Quran seperti Ibn Mas`ud, Ibn Abbas, Zaid bin Thabit, Mus`ab bin Umayr dan lain-lainnya. Pelajari kisah hidup mereka, teladani kemuliaan mereka. Merekalah selebriti yang lebih layak diagung-agungkan umat Islam.

17 Ramadhan 1438
12 Jun 2017

(Alang Ibn Shukrimun)

{jathumbnail off}